IPOH: Bekas pemain badminton beregu terbaik negara Datuk Ng Boon Bee, meninggal dunia akibat aneurisme hari ini, kata menantunya John Yuen.

Beliau berkata Boon Bee, 84, kelahiran Ipoh itu meninggal di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB) pada 4 petang ini.

"Sebelum ini beliau sihat, dan tiba-tiba beliau rasa sakit belakang kira-kira 1 tengah hari tadi dan telah dikejarkan ke hospital swasta dan kemudiannya ke HRPB sebelum beliau disahkan meninggal dunia," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Boon Bee meninggalkan seorang isteri Datin Tong Yee Cheng, 85, dan seorang anak perempuan Gillian, 51, manakala anak lelakinya Thomas, 54, meninggal dunia tahun lepas.

Menurut John upacara pengebumian akan diadakan di Nirvana Memorial Park di sini pada Ahad.

Bakat Boon Bee mula menyinar selepas menjuarai acara perseorangan dan beregu di sekolahnya di Ipoh pada 1955, sebelum memenangi acara beregu campuran dan beregu lelaki Remaja Perak pada 1956, dan kemudiannya menyertai kejohanan peringkat antarabangsa di Terbuka Malaysia 1957.

Boon Bee dan pasangannya Datuk Tan Yee Khan menjadi juara pada kali pertama mewakili negara di Kejohanan All England pada 1965.

Antara kejayaan pingat emas yang dimenanginya termasuk beregu lelaki Sukan Komanwel Edinburgh 1970, beregu lelaki Sukan Asia Jakarta 1962, beregu lelaki Sukan Asia Bangkok 1966, beregu lelaki dan beregu campuran Sukan Asia Bangkok 1970 dan Piala Thomas Jakarta 1967.

Boon Bee yang berpasangan dengan Datuk Punch Gunalan berjaya memberikan kontinjen Malaysia pingat perak di Sukan Olimpik Munich 1972 selepas tewas 4-15,15-2, 11-15 kepada pasangan Indonesia Ade chandra dan Christian Hadinata.

Pemain itu yang kemudiannya menjadi jurulatih tenis dan badminton di Ipoh telah terpilih untuk menerima Anugerah Olahragawan Negara 1968 dan menerima pingat Dato' Paduka Tunku Ja'afar (DPTJ) daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, pada 2008.

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia Datuk Kenny Goh berkata Boon Bee akan diingati sebagai ikon badminton negara, dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada negara.

Seorang lagi pemain Datuk James Selvaraj berkata pada ketika beliau meningkat naik sebagai pemain muda badminton negara, beliau bernasib baik kerana dapat melihat keunikan teknik dan bakat yang memberikan motivasi kepada pemain lain untuk belajar dan berjaya juga.

-- BERNAMA