MITI Cadang Insentif Beli Motosikal EV Bagi Kumpulan B40

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengemukakan cadangan pemberian insentif pembelian kenderaan elektrik (EV) khususnya motosikal dalam Belanjawan 2024 bagi menggalakkan perkembangan industri itu di Malaysia.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI, Datuk Hanafi Sakri berkata cadangan tersebut sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF), ia akan tertumpu kepada pemilik kenderaan daripada kumpulan B40. 

“Kita mengharapkan keputusan yang positif. MITI berharap MoF dapat memberi sokongan kepada pembangunan industri EV negara, (dan) di dalam konteks ini untuk motosikal,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di International Electric Mobility Showcase (IEMS 2023) di sini hari ini.

Mengenai pembangunan industri EV secara keseluruhan, Hanafi berkata kerajaan telah menyediakan banyak insentif pada tahun 2022 dan 2023 untuk pembangunan industri tersebut sama ada daripada segi permintaan dan juga penawaran perkhidmatan berkenaan.

Beliau berkata pasaran EV beroda dua di Malaysia masih berada di tahap rendah, iaitu kurang daripada satu peratus.

Sehubungan itu, MITI berharap inisiatif yang dilakukan termasuk cadangan yang dikemukakan bagi Belanjawan 2024, ia akan mempercepatkan penggunaan EV di Malaysia.

“Fokus kita sekarang lebih tertumpu kepada kenderaan empat roda atau kereta. Justeru, MITI mengembangkannya kepada motosikal dan kenderaan perdagangan,” kata Hanafi.

Malaysia menyasarkan kira-kira 10,000 stesen pengecas menjelang 2025, terdiri daripada 1,000 unit jenis arus terus dan 9,000 unit jenis arus ulang-alik atau pengecasan perlahan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Malaysia Disasar Jadi Pasaran Seterusnya Kenderaan Berkuasa Metanol Geely

NINGBO (China) 26 April (Bernama) — Malaysia disasar menjadi pasaran seterusnya bagi kenderaan berkuasa metanol Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely), selepas China dan Eropah.

Naib presiden Geely Auto dan presiden Geely New Energy Powertrain R&D Centre Wang Ruiping berkata pengeluar kereta persendirian terbesar China itu bersedia untuk berbincang dengan Malaysia tentang projek tersebut dan menyedari usaha negara untuk meningkatkan penghasilan dan penggunaan bahan api hijau yang mampan.

“Ada peluang yang berpotensi (untuk bekerjasama). Kita boleh berbincang mengenai butiran terperincinya,” katanya kepada wartawan Malaysia semasa lawatan media ke Institut Penyelidikan dan Pembangunan Geely pada Rabu.

Metanol adalah sumber tenaga yang ideal memandangkan ciri-ciri bersihnya, senang untuk diangkut, dan boleh disimpan dengan mudah. Dari segi alam sekitar, pelepasan bahan api metanol jauh lebih rendah berbanding diesel.

 Geely Holding Group ialah pemaju dan pengeluar kenderaan metanol terbesar di dunia.

Jenama anak syarikat kumpulan itu telah mengeluarkan kenderaan sedan metanol Geely Auto Emgrand dan kenderaan perdagangan Geely, trak berat Farizon M100; kedua-duanya telah melepasi standard pelepasan karbon ‘China VI’.

Pengeluar kereta itu telah memperkenalkan kira-kira 20 model metanol bagi kenderaan penumpang dan juga perdagangan.

“Terdapat lebih 30,000 kenderaan metanol Geely yang bergerak di atas jalan raya dengan gabungan perbatuan kira-kira 10 bilion kilometer,” katanya.

Ketika ini syarikat itu sedang menguji kenderaan berkuasa metanol di Denmark untuk memasarkannya di pasaran Eropah.

Geely mempunyai 49.9 peratus kepentingan dalam pengeluar kereta nasional Malaysia Proton Holdings Bhd dan sedang mencari peluang untuk menghasilkan lebih banyak model untuk menyokong inisiatif ekosistem hijau kerajaan.

Perkongsian Geely-Proton menyaksikan pelancaran tiga kenderaan utiliti sukan (SUV), X50, X70 dan X90 serta sedan kompak S70x.

Model X90 ialah kenderaan tenaga baharu pertama Proton yang menawarkan penggunaan bahan api lebih rendah, pelepasan karbon lebih rendah dan prestasi yang bertambah baik.

— BERNAMA