Belanjawan 2024: Pakar Cadang Pelepasan Cukai Ke Atas Perancangan Kewangan

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) — Kerajaan perlu memperkenalkan pelepasan cukai ke atas fi perancangan kewangan dalam Belanjawan 2024, yang boleh membantu meningkat pengetahuan dan kesedaran mengenai kemampanan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

 Pengarah Perkhidmatan Pelaburan Perbendaharaan Korporat, Wealth Vantage Advisory Sdn Bhd, Idham Idris berkata insentif seperti itu akan menyokong hasrat kerajaan untuk memastikan setiap orang bersedia dari segi kewangan untuk masa depan.

Langkah untuk memastikan rakyat Malaysia mendapatkan penasihat kewangan yang betul dan berkelayakan berdasarkan keperluan mereka juga penting, katanya semasa taklimat media mengenai harapan Belanjawan 2024 oleh Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (PPKM) di sini, pada Rabu.

Beliau berkata perkara itu meliputi aspek pengurusan kewangan seperti persaraan, simpanan, penyelesaian hutang dan matlamat kekayaan, sekal gus menghindari daripada ditipu.

Sementara itu, Pengarah Alpine Advisory Sdn Bhd, Rozanna Rashid turut bersetuju dengan cadangan itu dengan berkata ia boleh menangani kekurangan pengurusan kewangan terutama kalangan rayat dalam kumpulan berpendapatan B40 dan M40.

Beliau yakin celik kewangan perlu bermula pada usia yang masih muda terutama menerusi pendidikan di sekolah, memandangkan pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang berkelulusan lebih rendah kini membentuk lebih separuh daripada tenaga kerja.

Syarikat juga perlu meneliti cara untuk memperkenalkan program celik kewangan bagi membantu pekerja mereka memperkukuh kedudukan kewangan, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif UNO Advisers Sdn Bhd, Ian Wong berkata menumpukan celik pengurusan risiko juga penting supaya rakyat Malaysia menyedari keperluan masing-masing.

Beliau berkata selain itu ramai yang diinsuranskan secara tidak wajar.

“Jadi, ia mungkin diwajibkan apabila anda membeli polisi, anda diberi pilihan lain yang lebih murah daripada sebaliknya.

“Saya berpandangan penting untuk mereka memahami bahawa insurans perubatan ialah alat pengurusan risiko, dan melihat cara untuk harus menggunakannya dan memikirkannya sebagai kos,” katanya.

Wong berkata pelepasan ke atas fi kewangan juga akan menggalakkan penyertaan aktif dalam kalangan penasihat sekali gus mewujudkan lebih banyak pekerjaan.

Terdapat 1,500 hingga 2,000 perancang kewangan berlesen di Malaysia, namun jumlah mereka yang berkhidmat dan aktif adalah rendah, katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Le Bourne Optimis Catat Pertumbuhan PPerniagaan Meskipun Senario Harga Koko Tidak Menentu

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) — Pengeluar coklat industri, Le Bourne Sdn Bhd optimis dengan prospek dan pertumbuhan perolehannya bagi tahun ini meskipun keadaan harga koko yang tidak menentu disebabkan oleh kekurangan bekalan biji koko.

Pengarah Urusannya Ng Boon Yeap berkata menyedari ketidaktentuan dalam pasaran komoditi tersebut, syarikat itu mengambil pendekatan berhati-hati untuk melaksanakan pelarasan harga produknya kerana ini boleh menjejaskan tingkah laku pembelian pelanggan.

“Harga produk coklat perlu dinaikkan tetapi atas alasan yang munasabah. Hari ini, semua harga meningkat, termasuk logistik dan kos buruh.

“Dengan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan ditambah dengan keadaan ketegangan geopolitik, semuanya menjadi sangat mahal.

“Sudah tentunya, kita perlu menaikkan (harga) untuk menangani inflasi dan harga bahan mentah yang tinggi. Namun begitu, kami melihat penggunaan coklat di rantau ini masih berkembang,” katanya kepada Bernama.

Ng berkata, senario ketika ini memberi kesan kepada keseluruhan industri koko dan bukan hanya terhad kepada satu-satu syarikat sahaja.

Menurut tradingeconomics.com, harga koko mencatatkan kenaikan tidak dijangka tahun ini ke paras tertinggi dalam sejarah pada 19 April lepas kepada US$12,218 satu tan (US$1=RM4.71) disebabkan kebimbangan terhadap pengurangan bekalan.

Bagaimanapun, harga pasaran menyusut kepada US$7,350.1 satu tan pada 6 Mei namun naik semula kepada US$8,256.9 satu tan pada 13 Mei.

Harga koko global melonjak naik apabila keadaan cuaca buruk telah menjejaskan pengeluaran di wilayah pengeluar utama.

Kira-kira 70 peratus daripada koko global dikeluarkan di Afrika Barat, dengan Ivory Coast dan Ghana berdepan masalah penuaian akibat hujan lebat yang disebabkan oleh fenomena cuaca El Nino.

Mengulas mengenai permintaan pasaran Le Bourne, Ng berkata, “Ia masih ada. Tidak ada pelanggan yang membatalkan pesanan kerana kami telah merancang strategi untuk menangani cabaran ini.”

BAGAIMANA KISAH BERMULA

Ng yang berlatarbelakangkan dalam bidang kejuruteraan menyertai industri tersebut pada 1989 apabila beliau bekerja dengan sebuah syarikat elektronik Amerika sebagai jurutera selama kira-kira dua setengah tahun.

Beliau kemudiannya berhenti dan menyertai sebuah syarikat Jerman sebagai pakar teknikal dalam pindahan teknologi koko dan teknologi pemprosesan coklat.

“Sejak itu, saya membawa balik teknologi tersebut ke Malaysia dan Asia Tenggara. Saya membantu beberapa syarikat Malaysia menubuhkan kilang pemprosesan koko moden mereka, dan salah satu daripadanya termasuk yang terbesar di negara ini dan Asia,” katanya.

Ng berkata Le Bourne bermula hasil daripada usaha sekumpulan usahawan yang berpandangan jauh dan memililki pengalaman lebih 50 tahun dalam pemprosesan coklat, pembangunan teknologi, teknikal produk dan aplikasi.

Menurutnya, meskipun nama Le Bourne berasal dari sebuah kawasan kecil di Perancis, ia didaftarkan pada 2009 dengan LB sebagai logonya.

“Jika anda memusingkan logo LB 90 darjah, anda boleh melihat bibir manusia kerana kami mencipta logo sedemikian rupa untuk menunjukkan bahawa produk itu secara semula jadi lazat dan sihat.

“Saat anda membicarakan tentang coklat, anda akan membayangkannya dari Switzerland atau negara-negara Eropah. Oleh itu, untuk bersaing dalam industri, apa yang anda perlukan ialah mencipta logo yang baik dengan nama jenama yang baik untuk memasarkan produk kerana coklat secara tradisinya dikaitkan sebagai produk Eropah,” katanya.

Mengenai produknya, beliau berkata Le Bourne menghasilkan spektrum produk yang meluas yang sesuai untuk semua kegunaan, menawarkan perkhidmatan komprehensif bagi membolehkan pelanggan menikmati faedah rantaian nilai yang lengkap.

“Produk kami pada asasnya 80 peratus untuk dieksport ke 20 negara, terutamanya ke rantau Asia Pasifik, manakala baki 20 peratus adalah untuk penggunaan tempatan.

“Sebagai pengeluar coklat industri, atau pengeluar coklat sebenar, kami menghasilkan coklat untuk  pengeluar makanan, gourmet (makanan atau masakan berkualiti tinggi) dan perkhidmatan makanan,” katanya.

Ng berkata lindung nilai mata wang adalah sebab utama mengapa Le Bourne mengeksport lebih separuh daripada produknya ke luar negara.

“Lindung nilai mata wang adalah antara usaha untuk mengurangkan kesan turun naik mata wang. Memandangkan kami menggunakan bahan mentah yang diimport, lindung nilai mata wang membantu kami melindungi perniagaan kami daripada keadaan yang tidak dijangka seperti nilai ringgit yang lebih rendah,” katanya. 

STOK BIJI KOKO

Ng menjelaskan meskipun keadaan pasaran yang tidak menentu, perniagaan coklat masih perlu untuk terus berkembang. 

Oleh itu, katanya, semua syarikat dalam industri itu perlu mencari kaedah kreatif untuk mengurangkan kos operasi perniagaan mereka.

Memetik laporan Pertubuhan Koko Antarabangsa (ICC), Ng berkata jumlah peratusan pengisaran koko bagi suku keempat 2023 adalah minimum berbanding suku keempat 2022, dengan kekurangan hanya 0.2 peratus, menunjukkan bahawa penggunaan koko masih kukuh.

“Kami mengunjurkan penggunaan koko tahun ini tidak berubah atau lebih rendah sedikit bagi keseluruhan industri koko,” katanya.

Menurut data bulanan terkini ICC, kekurangan bekalan sebanyak 374,000 tan dijangkakan bagi tahun tanaman 2023/2024 berbanding 74,000 tan metrik dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Mengenai stok biji koko, Ng berkata secara umumnya, pemain industri koko telah menandatangani kontrak hadapan beberapa bulan lebih awal, sekurang-kurangnya enam bulan hingga satu tahun, untuk mendapatkan stok koko.

“Justeru, tidak menjadi masalah kepada mereka (syarikat besar) jika senario kekurangan bekalan berlaku secara tidak dijangka, kerana mereka mempunyai stok biji koko yang banyak untuk mengekalkan perniagaan mereka,” katanya.

— BERNAMA