Cypark Terbitkan Tranche Ketiga Sukuk Musharakah Kekal RM165 Juta

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) — Cypark Renewable Energy Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Cypark Resources Bhd telah menerbitkan tranche ketiga Sukuk Musharakah Kekal sebanyak RM165 juta dalam nilai nominal atas dasar tidak bercagar daripada saiz terbitan sehingga RM265 juta di bawah Program Sukuk Musharakah Kekal (Penerbitan Tranche Ketiga).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Cypark Resources berkata hasil yang diperoleh daripada penerbitan Tranche Ketiga itu akan digunakan untuk modal kerja, perbelanjaan modal, pembayaran balik pembiayaan dan pinjaman sedia ada, membayar kos dan perbelanjaan lain yang berkaitan dengan penerbitan Program Sukuk Musharakah Kekal.

“Penerbitan itu telah dilanggan sepenuhnya oleh Jakel Capital Sdn Bhd, pemegang saham utama syarikat, berdasarkan hasil pasaran yang setanding dengan terbitan Program Sukuk Musharakah Kekal,” katanya.

Cypark Resources juga berkata dengan selesainya penerbitan Tranche Ketiga juga menandakan selesainya Program Sukuk Musharakah Kekal.

RHB Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama, pengatur utama dan pengurus utama bagi Program Sukuk Musharakah Kekal dan juga pengurus utama bagi penerbitan Tranche Ketiga.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Penswastaan ​​MAHB Cermin Keyakinan Pelabur Asing Terhadap Potensi Pertumbuhan Syarikat Tempatan – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) — Pengumuman penswastaan ​​Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat, terutamanya oleh pelabur asing, terhadap potensi kewangan dan pertumbuhan syarikat tempatan, kata seorang ahli ekonomi.

Pengarah program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata pengumuman itu akan memberi kesan positif kepada prestasi dan status kewangan MAHB pada masa hadapan.

“Keyakinan ini diperkukuhkan lagi oleh harga tawaran tinggi untuk baki saham MAHB oleh Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Saya pasti lembaga pengarah MAHB dan pemegang saham utama mereka telah melakukan kajian terperinci terhadap strategi pelaburan terbaik untuk MAHB. Salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan ialah kesan pelaburan sedemikian terhadap agenda nasional dan aset strategik negara,” katanya kepada Bernama.

Semalam Gateway Development Alliance dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran suka rela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh konsortium berkenaan, pada harga tawaran RM11.00 sesaham.

Konsortium itu diterajui oleh dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan malaysia – Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya UEM Group Bhd dan KWSP.

Pemegang saham konsortium itu  juga dianggotai oleh anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Partners (GIP), salah satu pelabur infrastruktur terkemuka dunia dengan pengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang.

Harga tawaran sebanyak RM11.00 itu mencerminkan nilai ekuiti berjumlah RM18.4 bilion.

Sehingga 14 Mei, 2024, konsortium dan syarikat induk masing-masing secara agregat memiliki 41.1 peratus saham MAHB yang diterbitkan

Apabila tawaran ini selesai sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2 peratus kepada 40 peratus manakala KWSP daripada 7.9 peratus kepada 30 peratus

Secara kolektif, para pelabur Malaysia akan memiliki 70 peratus saham MAHB manakala ADIA dan GIP akan memegang baki 30 peratus saham.

Mengenai kemungkinan risiko penjualan saham dalam jumlah yang besar kepada rakan kongsi asing, beliau berkata memandangkan had penjualan kepada rakan kongsi asing hanya 30 peratus, ia tidak akan menimbulkan sebarang risiko kritikal atau ketara kepada syarikat itu atau pemegang saham tempatan.

Sementara itu, timbalan presiden Persatuan Ekonomi Malaysia Profesor Dr Yeah Kim Leng berkata penswastaan itu akan memberikan ruang kepada MAHB untuk memanfaatkan nilai aset, mencari peluang pertumbuhan baharu dan menangani cabaran baharu dalam landskap ekonomi dan kewangan global pasca COVID-19 yang berubah dengan pantas yang mengubah prospek industri lapangan terbang di dalam negara dan serantau.

Beliau berkata rakan kongsi asing akan mencari kelebihan khusus syarikat seperti sistem proprietari dan pengetahuan yang akan menambah kepada nilai perusahaan dan pertumbuhan masa depan.

Menurutnya, rakan kongsi asing itu juga boleh menyediakan akses yang lebih besar kepada modal dan pasaran, termasuk kepakaran industri global.

“Apa yang penting, memandangkan MAHB juga memiliki lapangan terbang di negara lain, ia berpotensi berubah menjadi pemain lapangan terbang utama global dengan penyertaan GIP. Sebahagian besar daripada penciptaan nilai atau 70 peratus akan terakru kepada Khazanah dan KWSP.

“Dengan pengalaman luas Khazanah dan KWSP dalam pelaburan antarabangsa, pemilihan rakan kongsi global mereka kemungkinan besar akan melalui penilaian intensif dan kajian terperinci,” kata Yeah.

Selain itu, katanya, perjalanan udara sedang mencatatkan pertumbuhan pantas dan persaingan antara lapangan terbang juga semakin sengit, sekali gus memerlukan strategi baharu yang berterusan.

“Rasional untuk menjadikan MAHB sebagai syarikat persendirian nampaknya kelihatan kukuh dan diharapkan persekitaran global akan kekal stabil agar entiti yang diswastakan itu dapat merealisasikan rancangan jangka panjangnya,” katanya.

— BERNAMA