Majikan Akan Terima Insentif Tunai Jika Penuhi Keperluan Dasar Gaji Progresif

KUALA LUMPUR 26 Sept (Bernama) — Majikan akan menerima insentif tunai daripada kerajaan setelah mengemukakan dokumen berkaitan sebagai bukti telah memenuhi keperluan dasar gaji progresif, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli. 

Beliau berkata majikan perlu terlebih dahulu menaikkan gaji pekerja dan seterusnya menunjukkan bukti barulah kerajaan boleh membayar insentif kepada mereka.

“Majikan kena naikkan gaji terlebih dahulu, kemudian tunjukkan bukti, baru kita boleh bayar. Bukannya kerajaan akan bagi insentif bulat-bulat. 

“Insentif berbentuk tunai ini penting bagi menggalakkan majikan untuk menyertai dasar ini terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS). 

“Insya-Allah, oleh kerana peruntukan itu ditentukan oleh kerajaan maka ia dapat mengimbangkan beban kewangan kerajaan juga kerana ia akan dilaksanakan atas dasar ‘first come, first serve’,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Negara, hari ini. 

Inisiatif dasar sistem gaji progresif itu telah diluluskan di peringkat Kabinet dan butirannya akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024 pada Oktober ini. 

Rafizi berkata mana-mana majikan yang memohon dan menepati syarat akan mendapat insentif tersebut tetapi sekiranya kuota itu sudah dipenuhi berdasarkan peruntukan yang diberi kerajaan bagi tahun berkenaan mereka boleh memohon semula pada tahun depan.

Beliau berkata, dasar tersebut juga berkaitan dengan produktiviti kerana pekerja diwajibkan untuk menghadiri latihan peningkatan kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan untuk terus kekal dalam daftar gaji progresif. 

“Untuk terus kekal dalam daftar gaji progresif itu mereka perlu memenuhi syarat-syarat latihan supaya bukan sahaja meningkatkan bakat dan kebolehpasaran mereka malah boleh membantu mereka meningkatkan produktiviti ditempat kerja.

“Itu akan mengimbangi keperluan gaji yang lebih baik kepada pekerja tetapi juga untuk berlaku adil kepada majikan supaya majikan juga dapat manfaat dari produktiviti yang lebih baik,” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Rancang Mekanisme Urus Kos Sara Hidup, Redakan Inflasi – Rafizi

PUTRAJAYA, 15 Mei (Bernama) — Kerajaan sedang merancang mekanisme untuk menguruskan kos sara hidup dan meredakan inflasi negara, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata perbincangan berkenaan gaji, kos sara hidup dan inflasi perlu diuruskan dengan teliti.

“Sebelum ini, sesetengah pihak… apabila setiap kali kita berbincang untuk mendesak kenaikan gaji, mereka akan sentiasa menyatakan kelemahan inflasi. Bagaimanapun, saya tidak merasakannya sebagai situasi saling eksklusif.

“Keseluruhan isu kos sara hidup perlu diuruskan bersama-sama. Anda perlu melihat kedua-dua komponen — gaji dan inflasi. Itulah sebabnya mekanisme ini perlu dilaksanakan dengan perancangan yang teliti,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran rancangan realiti televisyen INNOVATHON musim kedua di sini hari ini.

Mekanisme itu akan memastikan wujudnya alternatif selain mempertimbangkan situasi ekonomi makro secara keseluruhan, katanya sambil memaklumkan antara kaedah terbaik untuk menguruskan kos sara hidup adalah memastikan pertumbuhan gaji yang baik dalam sesuatu tempoh masa.

Rafizi berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei, dan pengenalan Akaun 3 yang dinamakan sebagai Akaun Fleksibel oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Bagaimanapun, beliau mengakui pelaksanaan mekanisme itu akan berdepan cabaran. 

“Terdapat perkaitan antara gaji dan inflasi serta pertumbuhan, dan ini menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan untuk mengimbangi semuanya agar segala-galanya mampan — pertumbuhan upah (perlu) adil dan mampan.

“Untuk menjadikannya mampan, inflasi perlu diuruskan supaya ia kekal sederhana dan tidak memberikan impak kepada pertumbuhan,” katanya.

— BERNAMA