GlobalFoundries Secara Rasmi Buka Kemudahan Hab Baharu Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 26 Sept (Bernama) — Pembuat semikonduktor, GlobalFoundries (GF) secara rasmi membuka kemudahan hab baharu di Pulau Pinang yang akan digunakan untuk menguruskan operasi globalnya.

Ketua Pegawai Pembuatan, Ang Kay Chai berkata operasi baharu Pulau Pinang itu akan memastikan semua lokasi pembuatan global GF di Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah mempunyai sokongan asas sepanjang masa di samping membolehkan pihaknya mengekalkan daya tahan dan kemampanan rantaian bekalan untuk operasi global.

“Kami mahu menggunakan sumber global di sini dan di Bangalore (India) untuk melakukan ini (menguruskan operasi kilang secara dari jauh) dan menyokong kilang kami di seluruh dunia 24 jam sehari, tujuh hari seminggu,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kemudahan itu di Bayan Baru, dekat sini pada Selasa.

Beliau berkata pejabat GF Malaysia adalah sebahagian daripada rangkaian hab strategik yang memanfaatkan jejak global syarikat dan melengkapkan kemudahan pembuatan termaju GF di seluruh dunia dengan menyediakan sumber kejuruteraan bagi menambah operasi secara masa sebenar.

Semua lokasi itu akan menggunakan teknologi pembuatan digital terkini seperti akses jarak jauh, penyelesaian Industri 4.0 dan menara kawalan kilang (FCT) terkini yang dimiliki GF, katanya.

Ang berkata syarikat itu melabur US$1 juta (US$1=RM4.69) untuk FCT di hab Pulau Pinang, selain akan melabur sehingga US$7 juta untuk latihan jurutera dan juruteknik di kemudahan itu bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Beliau berkata buat masa ini, hab itu mempunyai kira-kira 300 jurutera dan juruteknik namun, GF akan mempertimbangkan mengambil tambahan 500 hingga 600 jurutera dan juruteknik sekiranya permintaan terus meningkat.

“Kami kini menggunakan satu tingkat untuk hab tetapi jika langkah itu terbukti menjadi model yang berjaya, kami menyasar untuk memperluas sehingga enam tingkat,” katanya.

Beliau berkata pihaknya mengenal pasti kaedah mengendalikan kilang secara maya semasa pandemik COVID-19, dan kini, GF ialah perintis dalam mewujudkan hab jarak jauh.

GF telah memilih hab Pulau Pinang sebagai lokasi untuk pewujudan FCT susulan ketersediaan bakat dengan berlatarbelakangkan semikonduktor selain negeri ini menjadi lokasi rancak untuk inovasi pembuatan semikonduktor, katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri,  Chow Kon Yeow yang hadir untuk merasmikan kemudahan hab baharu itu berkata GF akan melatih pekerja dalam menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin untuk mengautomasikan lagi proses dalam pembuatan semikonduktor.

“Kami mengharapkan perkongsian pengetahuan dan pemindahan kemahiran kepada 300 jurutera dan juruteknik di sini,” katanya.

Beliau berkata industri semikonduktor diunjurkan berkembang menjadi industri bernilai US$1 trilion pada 2030.

GF, yang beroperasi di 15 lokasi dan mempunyai kira-kira 13,000 pekerja di seluruh dunia, mengendalikan kilang fabrikasi pembuatan di AS, Jerman dan Singapura, serta memberikan perkhidmatan kepada lebih 250 pelanggan di seluruh dunia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Le Bourne Optimis Catat Pertumbuhan PPerniagaan Meskipun Senario Harga Koko Tidak Menentu

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) — Pengeluar coklat industri, Le Bourne Sdn Bhd optimis dengan prospek dan pertumbuhan perolehannya bagi tahun ini meskipun keadaan harga koko yang tidak menentu disebabkan oleh kekurangan bekalan biji koko.

Pengarah Urusannya Ng Boon Yeap berkata menyedari ketidaktentuan dalam pasaran komoditi tersebut, syarikat itu mengambil pendekatan berhati-hati untuk melaksanakan pelarasan harga produknya kerana ini boleh menjejaskan tingkah laku pembelian pelanggan.

“Harga produk coklat perlu dinaikkan tetapi atas alasan yang munasabah. Hari ini, semua harga meningkat, termasuk logistik dan kos buruh.

“Dengan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan ditambah dengan keadaan ketegangan geopolitik, semuanya menjadi sangat mahal.

“Sudah tentunya, kita perlu menaikkan (harga) untuk menangani inflasi dan harga bahan mentah yang tinggi. Namun begitu, kami melihat penggunaan coklat di rantau ini masih berkembang,” katanya kepada Bernama.

Ng berkata, senario ketika ini memberi kesan kepada keseluruhan industri koko dan bukan hanya terhad kepada satu-satu syarikat sahaja.

Menurut tradingeconomics.com, harga koko mencatatkan kenaikan tidak dijangka tahun ini ke paras tertinggi dalam sejarah pada 19 April lepas kepada US$12,218 satu tan (US$1=RM4.71) disebabkan kebimbangan terhadap pengurangan bekalan.

Bagaimanapun, harga pasaran menyusut kepada US$7,350.1 satu tan pada 6 Mei namun naik semula kepada US$8,256.9 satu tan pada 13 Mei.

Harga koko global melonjak naik apabila keadaan cuaca buruk telah menjejaskan pengeluaran di wilayah pengeluar utama.

Kira-kira 70 peratus daripada koko global dikeluarkan di Afrika Barat, dengan Ivory Coast dan Ghana berdepan masalah penuaian akibat hujan lebat yang disebabkan oleh fenomena cuaca El Nino.

Mengulas mengenai permintaan pasaran Le Bourne, Ng berkata, “Ia masih ada. Tidak ada pelanggan yang membatalkan pesanan kerana kami telah merancang strategi untuk menangani cabaran ini.”

BAGAIMANA KISAH BERMULA

Ng yang berlatarbelakangkan dalam bidang kejuruteraan menyertai industri tersebut pada 1989 apabila beliau bekerja dengan sebuah syarikat elektronik Amerika sebagai jurutera selama kira-kira dua setengah tahun.

Beliau kemudiannya berhenti dan menyertai sebuah syarikat Jerman sebagai pakar teknikal dalam pindahan teknologi koko dan teknologi pemprosesan coklat.

“Sejak itu, saya membawa balik teknologi tersebut ke Malaysia dan Asia Tenggara. Saya membantu beberapa syarikat Malaysia menubuhkan kilang pemprosesan koko moden mereka, dan salah satu daripadanya termasuk yang terbesar di negara ini dan Asia,” katanya.

Ng berkata Le Bourne bermula hasil daripada usaha sekumpulan usahawan yang berpandangan jauh dan memililki pengalaman lebih 50 tahun dalam pemprosesan coklat, pembangunan teknologi, teknikal produk dan aplikasi.

Menurutnya, meskipun nama Le Bourne berasal dari sebuah kawasan kecil di Perancis, ia didaftarkan pada 2009 dengan LB sebagai logonya.

“Jika anda memusingkan logo LB 90 darjah, anda boleh melihat bibir manusia kerana kami mencipta logo sedemikian rupa untuk menunjukkan bahawa produk itu secara semula jadi lazat dan sihat.

“Saat anda membicarakan tentang coklat, anda akan membayangkannya dari Switzerland atau negara-negara Eropah. Oleh itu, untuk bersaing dalam industri, apa yang anda perlukan ialah mencipta logo yang baik dengan nama jenama yang baik untuk memasarkan produk kerana coklat secara tradisinya dikaitkan sebagai produk Eropah,” katanya.

Mengenai produknya, beliau berkata Le Bourne menghasilkan spektrum produk yang meluas yang sesuai untuk semua kegunaan, menawarkan perkhidmatan komprehensif bagi membolehkan pelanggan menikmati faedah rantaian nilai yang lengkap.

“Produk kami pada asasnya 80 peratus untuk dieksport ke 20 negara, terutamanya ke rantau Asia Pasifik, manakala baki 20 peratus adalah untuk penggunaan tempatan.

“Sebagai pengeluar coklat industri, atau pengeluar coklat sebenar, kami menghasilkan coklat untuk  pengeluar makanan, gourmet (makanan atau masakan berkualiti tinggi) dan perkhidmatan makanan,” katanya.

Ng berkata lindung nilai mata wang adalah sebab utama mengapa Le Bourne mengeksport lebih separuh daripada produknya ke luar negara.

“Lindung nilai mata wang adalah antara usaha untuk mengurangkan kesan turun naik mata wang. Memandangkan kami menggunakan bahan mentah yang diimport, lindung nilai mata wang membantu kami melindungi perniagaan kami daripada keadaan yang tidak dijangka seperti nilai ringgit yang lebih rendah,” katanya. 

STOK BIJI KOKO

Ng menjelaskan meskipun keadaan pasaran yang tidak menentu, perniagaan coklat masih perlu untuk terus berkembang. 

Oleh itu, katanya, semua syarikat dalam industri itu perlu mencari kaedah kreatif untuk mengurangkan kos operasi perniagaan mereka.

Memetik laporan Pertubuhan Koko Antarabangsa (ICC), Ng berkata jumlah peratusan pengisaran koko bagi suku keempat 2023 adalah minimum berbanding suku keempat 2022, dengan kekurangan hanya 0.2 peratus, menunjukkan bahawa penggunaan koko masih kukuh.

“Kami mengunjurkan penggunaan koko tahun ini tidak berubah atau lebih rendah sedikit bagi keseluruhan industri koko,” katanya.

Menurut data bulanan terkini ICC, kekurangan bekalan sebanyak 374,000 tan dijangkakan bagi tahun tanaman 2023/2024 berbanding 74,000 tan metrik dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Mengenai stok biji koko, Ng berkata secara umumnya, pemain industri koko telah menandatangani kontrak hadapan beberapa bulan lebih awal, sekurang-kurangnya enam bulan hingga satu tahun, untuk mendapatkan stok koko.

“Justeru, tidak menjadi masalah kepada mereka (syarikat besar) jika senario kekurangan bekalan berlaku secara tidak dijangka, kerana mereka mempunyai stok biji koko yang banyak untuk mengekalkan perniagaan mereka,” katanya.

— BERNAMA