Lelaki 'bertelekung' cuba curi tabung masjid diberkas

Polis memberkas seorang lelaki memakai telekung dan cuba mencuri duit tabung di sebuah masjid di Bandar Baru Bangi pada Khamis lalu.
Polis memberkas seorang lelaki memakai telekung dan cuba mencuri duit tabung di sebuah masjid di Bandar Baru Bangi pada Khamis lalu.
A
A
A

KAJANG - Tindakan seorang lelaki memakai telekung dan cuba mencuri duit tabung di sebuah Masjid di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi, di sini, mengundang padah apabila dia ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki berkaitan kes itu pada jam 3.34 petang, Jumaat lalu.

"Kejadian berlaku pada jam 3 pagi, Khamis, di mana pengadu terima panggilan daripada salah seorang pengawal keselamatan bertugas ketika itu memaklumkan bahawa ada orang cuba 'memancing' duit tabung masjid.

"Pengadu kemudiannya membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki yang memakai telekung berwarna biru berseluar warna hitam dan memakai pelitup muka cuba mencuri duit tabung yang berada di bahagian koridor luar masjid itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Zaid berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak sempat mencuri duit tabung masjid dan usaha mengejar suspek telah dilakukan oleh pengawal keselamatan, namun dia berjaya melarikan diri.

"Bertindak atas maklumat, kita berjaya menahan suspek berusia 23 tahun di sebuah flat di Kajang Mewah, di sini, pada jam 12.30 tengah malam tadi," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas sehelai baju kemeja t lengan panjang warna hitam, sehelai telekung warna biru dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 warna hitam disyaki digunakan semasa kejadian.

"Kejayaan penangkapan suspek, kita percaya dapat menyelesaikan beberapa kes kecurian duit, telefon bimbit di dalam masjid dan surau di sekitar Bandar Baru Bangi," katanya.

Mohd Zaid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222 atau Pegawai Penyiasat kes Sarjan Muhammad Fadeli Safii di talian 012-5373134 bagi membantu siasatan," katanya.