Tahap kawalan sehabis baik di Stadium Perak

Laporan Sukan Sinar insiden Royal Rumble penyokong di Stadium Perak, pada Sabtu.Gambar kecil: Bobie Farid
Laporan Sukan Sinar insiden Royal Rumble penyokong di Stadium Perak, pada Sabtu.Gambar kecil: Bobie Farid
A
A
A

PERAK FC menyediakan kawalan keselamatan pada tahap terbaik mengikut standard ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sepanjang perlawanan Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.

Itu reaksi Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin susulan insiden provokasi yang dicetuskan penyokong casual Perak terhadap penyokong Selangor semasa perlawanan separuh pertama.

Bobie Farid berkata, pihaknya memandang serius provokasi dicetuskan penyokong Casual Perak hingga menimbulkan kekecohan dalam stadium yang memalukan dan merosakkan imej bola sepak negara.

“Sebenarnya untuk game Liga Super, Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak pada Sabtu, kami telah pun menyediakan seramai 100 pegawai keselamatan, 200 anggota polis dan 60 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

“Dan terdapat tangkapan dilakukan anggota keselamatan di stadium pada Sabtu, namun begitu jumlah penyokong-penyokong casual agak ramai.

“Keadaan stadium yang terbuka di antara zon juga memberi masalah kawalan sekali gus menyukarkan anggota bertugas mengawal pergerakan dalam stadium.

“Namun kami akur dan menerima sekiranya dikenakan hukuman MFL susulan insiden ini,” katanya kepada Sukan Sinar insiden kekecohan penyokong semasa perlawanan The Bos Gaurus menentang The Red Giants

Perlawanan Derbi El Classico Malaya yang berintensiti tinggi itu menyaksikan Perak akur tewas 0-4 kepada Selangor.

Pada masa sama Bobie Farid berkata, Perak FC berhasrat mengenakan larangan seumur hidup terhadap penyokong The Bos Gaurus daripada membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan itu.

Katanya, ia antara pendekatan proaktif yang akan dilaksanakan pengurusan kelab Liga Super tersebut dalam membendung penularan samseng bola sepak (hooligan).

Tambah Bobie Farid lagi, pihaknya percaya larangan membeli tiket seumur hidup mampu mengekang penularan anasir itu walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh.

“Begitupun kami akan bekerjasama lebih erat dengan pihak polis untuk mengenalpasti golongan ini dan akan cuba menghalang mereka sebaik mungkin dari memasuki stadium menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan Perak,” katanya.