Kerjasama dengan UMNO tak pinggirkan Amanah - Mujahid

Mujahid (tengah) beramah mesra dengan pimpinan PH dan UMNO Perak yang hadir ke Majlis Jamuan Hari Raya Malaysia Madani PH Perak di Arena Square Parit Buntar, Perak pada Ahad.
Mujahid (tengah) beramah mesra dengan pimpinan PH dan UMNO Perak yang hadir ke Majlis Jamuan Hari Raya Malaysia Madani PH Perak di Arena Square Parit Buntar, Perak pada Ahad.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kerjasama yang terjalin di antara Pakatan Harapan (PH) dengan UMNO tidak sesekali menggugat kedudukan dan peranan Parti Amanah Negara (Amanah) selaku salah satu parti komponen PH.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof turut menafikan Amanah dipinggirkan memberitahu bahawa peranan parti itu juga tidak sesekali diketepikan di sebalik kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

"Jadi saya nak betulkan sebab perkara itu tak wujud. Yang wujud ialah kesepakatan untuk mengukuhkan Kerajaan Perpaduan di mana semua parti telah berjaya meletakkan kedudukan masing-masing sebagai pemain utama dalam menjayakan kerajaan ini.

"Kita datang sebagai PH yang kemudian bergabung dengan kerajaan di atas titah Yang di-Pertuan Agong.

"Jadi saya menafikan sekeras-kerasnya apa juga pandangan yang menganggap Amanah diperkecilkan, dikesampingkan kerana hakikatnya Amanah memainkan peranan yang besar walaupun kita ada dua menteri," katanya kepada pemberita ketika Majlis Jamuan Hari Raya Malaysia Madani PH Perak di Arena Square Parit Buntar di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan pimpinan PH negeri Perak.

Sementara itu mengenai gerak kerja pilihan raya negeri (PRN), Mujahid menjelaskan, Amanah Perak dijangka membantu negeri-negeri di sebelah utara iaitu Kedah dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun katanya, penyelarasan akan dibuat bersama-sama rakan komponen PH yang lain termasuklah daripada BN.

"Saya bersama MB (Menteri Besar) selaku Pengerusi BN, kami telah bersetuju dan akan dibincang secara terperinci bahawa di peringkat PRN kita juga akan bekerjasama untuk kempen memastikan calon BN dan calon PH, kita kena pastikan menang sebab kita mahukan satu solidariti dalam memenangkan PH dan Kerajaan Perpaduan ini.

"Seperti mana-mana PRN, parti masing-masing akan ada tempat yang ditetapkan untuk bertugas," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang, Mujahid menjelaskan, setakat ini tiada dalam perancangan, dalam masa sama memberitahu rundingan kerusi sedang dibuat dan berjalan lancar.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan Perak masih kukuh dengan sokongan 32 ADUN - Saarani

MB Perak akan jelas isu ADUN lompat parti hari ini

'Sudah-sudahlah nak jatuhkan kerajaan'

Kerajaan Perak goyah: Razman dicabar kemuka bukti

Tak perlu pinda, Pelan Perak Sejahtera selari dasar Malaysia Madani