ACWW lulus beberapa resolusi dalam persidangan hari ini

Kira-kira 500 perwakilan yang menghadiri persidangan ACWW itu yang berlangsung selama sembilan hari. - Foto Bernama
Kira-kira 500 perwakilan yang menghadiri persidangan ACWW itu yang berlangsung selama sembilan hari. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Persidangan Wanita Desa Sedunia sebulat suara meluluskan beberapa resolusi di hari kedua persidangan tiga tahun sekali ke-30 hari ini, termasuk menggesa semua kerajaan membangunkan rancangan tindakan pekerjaan wanita luar bandar.

Presiden Persatuan Wanita Luar Bandar New Zealand, Gill Naylor yang mencadangkan usul berkenaan berkata resolusi itu disasar bagi menambah baik keadaan di tempat kerja wanita, yang mungkin berhadapan dengan beberapa isu sepanjang kerjaya, termasuk tidak mendapat bayaran gaji yang setimpal dengan kerja yang dibuat.

"Bagi membangunkan pelan tindakan, penggubal perlu fokus kepada strategi jangka panjang termasuk bagaimana cara menambah baik daya tahan wanita dalam menghadapi ekonomi masa depan dan kejutan sosial.

"Kerajaan juga perlu tahu bagaimana mengenal pasti peluang dalam persekitaran kerangka kerja semasa atau pembiayaan semasa, yang boleh dikesan bagi mengurangkan ketidakseimbangan yang dihadapi antara satu sama lain,” katanya semasa berucap di hadapan kira-kira 500 perwakilan yang menghadiri persidangan ACWW itu yang berlangsung selama sembilan hari.

ACWW ditubuhkan pada tahun 1929 untuk menyatukan wanita luar bandar dan organisasi mereka di seluruh dunia, di samping berusaha menangani cabaran yang dihadapi akibat pengasingan komuniti mereka, diskriminasi dan kekurangan penglibatan mereka dalam proses politik.

Keahlian ACWW merangkumi 82 negara, dan sejak 1947 persatuan itu telah meluluskan lebih 180 resolusi dasar melalui undian popular.

Selain daripada rancangan tindakan pekerjaan, ahli ACWW turut meluluskan resolusi bagi menangani pembaziran dan analisis kesan gender luar bandar.

Dengan pembaziran makanan dianggar melibatkan kerugian kira-kira AS$940 di peringkat ekonomi global setiap tahun, pertubuhan itu menggesa semua kerajaan bekerjasama dengan pengusaha kedai-kedai runcit tempatan dalam mewujudkan program pendidikan mengenai sisa makanan.

Merujuk kepada analisis kesan jantina luar bandar pula, mereka berharap ia akan memberi manfaat kepada banyak negara dalam proses membuat keputusan, bagi memastikan tiada dasar berunsur berat sebelah terhadap komuniti wanita. - Bernama