Tular harga gula putih naik tidak benar

Orang ramai dinasihati agar tidak keliru dengan kenyataan tular di media sosial berkenaan kenaikan harga gula putih. - Gambar hiasan
Orang ramai dinasihati agar tidak keliru dengan kenyataan tular di media sosial berkenaan kenaikan harga gula putih. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Orang ramai dinasihati agar tidak keliru dengan kenyataan tular di media sosial berkenaan kenaikan harga gula putih.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan, gula putih bertapis masih mengikut harga kawalan runcit semasa iaitu RM2.85 bagi gula kasar dan gula halus pula RM2.95 bagi setiap 1 kilogram (kg).

Menurutnya, KPDN sentiasa cakna dengan isu yang dibangkitkan berhubung pengenalan dan penjualan gula super atau gula putih premium iaitu bungkusan hijau di pasaran seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata, kedua-dua syarikat MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan CSR Sdn Bhd telah menyatakan bahawa gula gred tersebut belum dikeluarkan dan dipasarkan di Malaysia.

"Perlu ditegaskan di sini bahawa sebarang pengenalan gula baharu di pasaran perlu mendapat kelulusan daripada KPDN terlebih dahulu.

"Ini kerana gula ialah barangan kawalan berjadual sepertimana yang telah diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, pelaksanaan Ops Manis bermula 3 hingga 17 Mei lalu menampakkan perkembangan yang amat positif.

"Ini terbukti apabila negeri-negeri yang mengalami gangguan bekalan gula telah pulih hampir 100 peratus," katanya.

Ujar beliau, KPDN sentiasa proaktif dalam memastikan isu bekalan gula dapat dikawal dengan sewajarnya dan akan terus menggerakkan jentera penguat kuasa di seluruh negara.

"Ini bagi memastikan tidak ada pihak yg cuba untuk menangguk di air keruh dan memperoleh manfaat secara tidak sah daripada apa yang berlaku," tambahnya lagi.