Ramai datang merisik PN - Eddin

Eddin
Eddin
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu) Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith mendakwa beberapa bekas ahli Parlimen UMNO negeri itu hampir pasti menyertai parti berkenaan.

Menurutnya, nama-nama mereka akan diumumkan ketika pelancaran jentera parti itu tidak lama lagi sekaligus bagi mengelakkan timbul spekulasi kurang tepat.

"Adalah beberapa nama bekas ahli Parlimen senior termasuk tokoh-tokoh politik dulu, tapi kita tak boleh umum lagi kerana masih terlalu awal.

"Sebenarnya ramai yang dah datang merisik, nyatakan minat sertai Perikatan Nasional (PN). Tapi masih belum buat keputusan, kita tengoklah nanti macam mana dan yang pastinya kita bersedia menerima sesiapa saja untuk berjuang bersama-sama PN," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan beberapa pemimpin politik yang mempunyai nama besar dengan sebahagian besar mereka daripada UMNO akan menyertai parti itu, Bersatu serta PN tidak lama lagi.

Sementara itu Eddin yang merupakan Pengerusi PN Negeri Sembilan mengakui yang mereka tidak sehebat PN di negeri lain, tetapi sentiasa berusaha untuk membaiki segala kelemahan yang ada.

Ujarnya, beliau yakin yang PN mampu memberi cabaran kepada parti lawan sekali gus menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.

"Ia berdasarkan sambutan masyarakat hari ini kepada kita terutama pengundi atas pagar.

"Saya akui pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu kita banyak kelemahan dan waktu itu pun saya kurang sihat tetapi kita cuba membetulkan segala kelemahan," katanya.

Tambahnya, parti juga sedang memperhalusi calon-calon yang sesuai untuk dipertaruhkan dan mereka mestilah mempunyai ciri-ciri disenangi masyarakat serta mampu berkhidmat dengan berkesan.