MP Kalabakan akur ketetapan parti jika dikenakan tindakan

Andi Muhammad bergambar bersama ahli keluarga dan tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Tanjung Batu Tawau.
Andi Muhammad bergambar bersama ahli keluarga dan tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Tanjung Batu Tawau.
A
A
A

TAWAU - Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy akur dengan ketetapan parti jika dikenakan tindakan tatatertib daripada UMNO.

Beliau yang terlepas daripada tindakan tatatertib setakat ini menjelaskan bahawa tindakan yang dikenakan kepada ahli UMNO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN)-UMNO sebelum ini diambil susulan polemik politik yang berlaku pada Januari lalu.

"Pada pandangan saya, ini ketetapan parti dan kita akur serta maklum dengan apa pun ketetapan yang dibuat oleh parti, jadi kita ikut saja.

"Memandangkan belum ada apa-apa tindakan dikenakan, kita masih jalankan tugas dan tanggungjawab sebagai ADUN dan Ahli Parlimen UMNO," katanya ketika ditemui padas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Tanjung Batu pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tiada sebarang tindakan dikenakan walaupun beliau merupakan antara ahli Parlimen yang membarisi kabinet negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau yang juga ADUN Tanjung Batu dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah.

Sebelum ini, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan bahawa seramai empat ADUN Sabah telah diambil tindakan tatatertib iaitu Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat) digantung keahlian selama enam tahun.

Tiga lagi ADUN iaitu Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) telah dipecat daripada parti.