BAC 2023: Tze Yong kandas, Wei Chong-Kai Wun mara

Tze Yong
Tze Yong
A
A
A

[KEMAS KINI] PERJALANAN pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), terhenti pada pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, pada Rabu.

Pemain ranking ke-25 dunia itu ditunjukkan jalan keluar apabila tewas 17-21, 18-21 dalam pertarungan yang berlangsung selama 42 minit di Dewan Tertutup Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr.

Ini merupakan kali pertama Tze Yong tewas kepada pemain ranking ke-20 dunia itu, selepas menewaskan Cheuk Yiu di Terbuka Singapura pada Julai lepas.

Cheuk Yiu dijadual bertemu pemain ke-10 dunia, Shi Yu Qi dari China pada pusingan kedua esok, yang mendapat laluan mudah di pusingan pertama apabila pemain pilihan pertama kejohanan dari Indonesia, Jonatan Christie menarik diri daripada meneruskan saingan.

Sementara itu, beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun mempamerkan aksi mantap dengan menumpaskan P.S Ravikrishna-Sankar Prasad Udayakumar dari India, 21-12, 21-17, dalam pertarungan yang berlangsung selama 28 minit.

Pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei turut tersingkir apabila ditundukkan pemain pilihan kedua kejohanan, An Se Young dari Korea Selatan, 10-21, 8-21 dalam perhitungan yang berlangsung selama 27 minit.

Se Young yang berada di ranking kedua dunia akan bertemu pemain Thailand Busanan Ongbamrungphan pada pusingan kedua, esok.

Beregu lelaki profesional negara, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong pula ditunjukkan jalan keluar awal oleh pilihan keenam kejohanan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India dalam perlawanan straight set, 14-21, 17-21. - Bernama