Pas sudah berubah, perlekeh kebenaran - Mohammad Agus

Tangkap layar siaran Mohammad Agus pada Rabu
Tangkap layar siaran Mohammad Agus pada Rabu
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mendakwa politik Pas ketika ini berubah secara keseluruhan apabila memperlekehkan kebenaran yang dibangkitkan oleh pihak lain.

Menurut beliau, jika ada sebarang perbezaan pendapat yang bertentangan dengan pandangan parti itu, pihak berkenaan akan ‘diserang’ berjemaah secara beremosi tanpa adab dan akhlak serta diberi pelbagai gelaran jelek.

“Saya dibesarkan dalam keluarga Pas. Sehingga umur dewasa, saya masih menyokong Pas biarpun bukan ahli Pas. Asas ketertarikan saya mudah. Pas memperjuangkan keadilan Islam dan keadilan sosial.

“Pas dahulu dan sekarang banyak berbeza. Dahulu Pas pertahankan kebenaran, kini Pas perlekehkan kebenaran.

“Saya timbulkan isu air, sampah dan jalan sempit di Kelantan, penyokong Pas nafikan dengan pelbagai cemuhan. Menakjubkan, mereka bahagia dengan kekurangan yang ada asalkan Pas perjuangkan Islam,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini Mohammad Agus membangkitkan tiga isu iaitu tekanan air perlahan dan tidak berkualiti, jalan tidak diselenggara dengan baik serta persekitaran kotor dengan sampah di merata tempat yang dilihat berlaku ketika pulang berhari raya di negeri berkenaan.

Rungutan itu telah mendapatkan pelbagai reaksi orang ramai terutama penyokong Pas.

Ujar Mohammad Agus, tindakan penyokong mencerminkan wajah Pas yang disifatkan sebagai jumud dan keliru.

“Saya sungguh tidak selesa dengan politik Pas sekarang. Kita tegur dan kritik, dianggap sesat dan jahat. Dahulu Pas lihat rasuah itu jijik, kini Pas lihat rasuah itu derma. Politik Pas tidak ada lagi kasih sayang.

“Saya fikir politik Pas sebegini perlu ditolak. Saya harap sangat anak muda dan pengundi yang mahukan negara kita maju dan harmoni menolak politik sebegini,” katanya.