'Nak jamu rakyat, di mana membazirnya' - Saifuddin

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di enam negeri yang dimulakan penganjurannya di Kedah pada 29 April ini tidak menyebabkan pembaziran malah ia sebagai usaha meraikan rakyat melalui jamuan makan sempena Aidilfitri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peruntukan menyediakan makanan seperti ketupat, lemang serta sate pada majlis itu tidak melibatkan kos yang tinggi apatah lagi kerajaan tidak boleh berkira-kira untuk menjamu rakyat makan.

"Rumah terbuka nak sambut raya dengan rakyat tak usah kira sangatlah, apa sangat nak jamu ketupat, lemang kepada rakyat. Jadi tak ada isulah saya nampak... membazir apa? Nak jamu ketupat... lemang, apa yang membazir itu? Ketupat dan lemang berapa duit.

"Ada makanan (antaranya) lemang, ketupat, sate. Itu menu yang saya sahkan semalam, akan ada (juga) gerai-gerai, ada cendol, ada ais kacang, berapa duit sangat, tak membazirlah insya-Allah," katanya pada sidang media selepas lawatan Aidilfitri dan penyampaian sumbangan di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am di sini pada Selasa.

Saifuddin Nasution mengulas laporan media Ahad lepas mengenai kritikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap penganjuran majlis itu yang dianggap sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan.

Muhammad Sanusi dipetik sebagai berkata ini kerana majlis itu melibatkan kos yang tinggi sedangkan kerajaan Persekutuan sebelum ini menguar-uarkan langkah penjimatan, justeru Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri seharusnya diadakan di satu lokasi sahaja iaitu di Putrajaya seperti kelaziman sebelum ini.

Selain Kedah, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri dijadual diadakan di Pulau Pinang pada 6 Mei, Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan Selangor (14 Mei).

Saifuddin Nasution yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, majlis berkenaan bukan kempen PRN sebaliknya satu daripada pendekatan untuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumpa rakyat.

Beliau berkata, tiada halangan untuk pihak kerajaan negeri termasuk Muhammad Sanusi menghadiri majlis itu nanti.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, proses pembahagian kerusi antara PH dan Barisan Nasional untuk PRN di enam negeri berjalan lancar setakat ini.

"Sangat memberangsangkan, mengikut jadual bagi kesemua negeri yang terlibat, kita ada garis masa kita, maksudnya untuk Mac kena selesai banyak mana, April kena selesai banyak mana, Mei kena selesai banyak mana.

"Kita mengikut ‘progress’. Tak ada masalah dari segi menguruskan proses rundingan itu,” katanya. - Bernama