Pengeluar mi segera buat ujian makmal untuk kepastian

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pengeluar 'Ah Lai White Curry Noodles' sedang menjalankan ujian makmal bagi memeriksa kandungan mi segera keluarannya yang didakwa mengandungi bahan mendorong kepada kanser.

Memetik laporan portal berita The Star pada Selasa, jurucakap syarikat itu memaklumkan, pihaknya telah menghantar sampel untuk ujian makmal bagi mendapat kesahihan kandungan karsinogen seperti didakwa oleh Jabatan Kesihatan Taipei di Taiwan.

Jurucakap itu berkata, mereka kini sedang sedang menunggu keputusan makmal dan menegaskan pihaknya tidak pernah menghadapi sebarang masalah termasuk dakwaan seperti itu sejak mula beroperasi pada 2014.

“Jabatan Kesihatan Taipei tidak menunjukkan keputusan atau sampel yang telah digunakan, namun kami menganggap mereka tidak menggunakan mi segera ini.

"Ini kerana apabila kami meminta jenis sampel yang digunakan, tarikh luput produk tidak sepadan dengan yang dihantar ke Taiwan tahun lepas (2022)," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Jabatan Kesihatan Taipei mengesahkan dua jenama mi segera dari Asia Tenggara mengandungi bahan yang boleh mendorong kepada kanser.

Jabatan itu mendedahkan dua jenama mi segera dari Malaysia dan Indonesia itu mengandungi bahan etilena oksida iaitu sebatian kimia yang dikaitkan dengan limfoma dan leukemia.

Dalam pada itu jurucakap itu berkata, syarikat yang bertapak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu juga telah mengeluarkan pelbagai jenis mi termasuk bihun, kuetiau dan mi udang untuk pasaran dalam dan luar negara termasuk Indonesia dan Jepun.