PN Selangor mampu tarik 20 peratus pengundi bukan Melayu

Mohamed Sukri
Mohamed Sukri
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) Selangor yakin mampu menarik sokongan 20 peratus bukan Melayu dalam misi menawan Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka Jun depan.

Ketua Pemuda PN Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, tidak mustahil misi tersebut dapat dilaksanakan melalui gelombang sokongan serta penerangan berterusan terhadap pengundi.

Menurutnya, PN menyasarkan 30 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan ditawan di Selangor.

"Untuk membentuk kerajaan negeri Selangor, PN perlu menang sekurang-kurangnya 29 kerusi.

"Tidak dinafikan kerusi majoriti bukan Melayu antara misi sukar PN, namun yakin (mampu tarik pengundi) dengan gelombang sokongan yang diterima," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris yang sebelum ini menyatakan PN hanya memerlukan satu perlima daripada undi bukan Melayu untuk memenangi PRN di Negeri Sembilan dan Selangor.

Mohamed Sukri berkata, PN mempunyai keupayaan memimpin negeri berdasarkan prestasi dipamerkan ketika menerajui kerajaan Persekutuan sebelum ini.

"Malah PN turut menampilkan kepimpinan terbaik di tiga negeri yang dikuasai PN iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"Rakyat juga perlu disedarkan dengan kegagalan yang cukup ketara di bawah kerajaan campuran PH-BN dalam menyelesaikan masalah rakyat khasnya kos sara hidup yang makin teruk," katanya.