Ini kempen PRN bukan rumah terbuka - Sanusi

Muhammad Sanusi (dua dari kiri) bergambar bersama mahasiswa di Program Ramah Mesra Aidilfitri Mahasiswa bersama Menteri Besar Kedah.
Muhammad Sanusi (dua dari kiri) bergambar bersama mahasiswa di Program Ramah Mesra Aidilfitri Mahasiswa bersama Menteri Besar Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri dianggap sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan.

Menteri Besar Kedah, Datuk seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana program terbabit melibatkan kos yang tinggi sedangkan kerajaan Persekutuan sebelum ini menguar-uarkan supaya langkah penjimatan dibuat oleh semua pihak.

Katanya, seharusnya jamuan rumah terbuka Aidilfitri diadakan di satu saja lokasi iaitu di Seri Perdana atau di sekitar Putrajaya seperti kelaziman sebelum ini.

"Ini program kempen pilihan raya bukan rumah terbuka tetapi ambil kesempatan daripada Aidilfitri apa program sesuai nak buat kempen? Maka buat rumah terbuka.

"Kita bukan nak halang rumah terbuka kepada orang ramai tetapi sebagai kerajaan yang cakap tentang langkah jimat cermat, tak payah buat program besar-besar, itu bertentangan dengan diri mereka sendiri," katanya ketika sidang media selepas menghadiri Program Ramah Mesra Aidilfitri Mahasiswa bersama Menteri Besar Kedah di Dewan Sri Mentaloon di sini pada Ahad.

Menurutnya, penglibatan beberapa kementerian dalam penganjuran program terbabit juga tidak sepatutnya berlaku.

"Enam negeri ini saya dah maklum lama guna kementerian seperti di Kedah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlibat.

"Kenapa guna kementerian untuk rumah terbuka, kementerian pun tidak ada bajet khusus untuk buat rumah terbuka," katanya.

Muhammad Sanusi menambah, semua tindakan politik terbabit dapat dinilai sendiri oleh orang ramai.

"Semua tindakan politik ini pergi pada peti undi, rakyat akan nilai hang guna dana kerajaan dana kementerian buat program kempen pilihanraya untuk parti hang, itu tak betul," katanya.

Jelas Muhammad Sanusi, beliau bagaimanapun tiada kuasa untuk menghalang rumah terbuka itu diadakan di Kedah malah akan turut hadir bersama.

"Saya tidak ada kuasa nak halang, lagipun bagus untuk rakyat Kedah pi makan. Saya tak tau ada jemputan atau tak tapi itu rumah terbuka, jemput atau tak saya akan hadir sebagai orang Kedah," katanya.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mengadakan Rumah Terbuka sempena sambutan Aidilfitri 2023 pada 1 Syawal 1444H di kediaman rasmi beliau di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Menurut kenyataan itu, program anjuran JPM melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku penyelaras utama itu diadakan di Kedah pada 29 April, Kelantan (12 Mei) dan Terengganu pada 13 Mei.

Selain itu JPM memaklumkan Perdana Menteri turut dijangka menghadiri tiga majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dilaksanakan Kerajaan Negeri masing-masing iaitu di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.