Pas pertahan status quo di Kelantan

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

TUMPAT - [DIKEMASKINI] Pas akan mempertahankan status quo apabila bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi mereka sebelum ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, lapan kerusi yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini akan ditandingi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Kita guna formula sebagaimana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu di mana Parlimen yang dimenangi BN diserahkan kepada Bersatu untuk bertanding.

"Keputusan ini telah dicapai hasil pertemuan dan perbincangan yang dijalankan sebelum-sebelumnya. Jika akan perubahan selepas ini akan dimaklumkan semula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Menteri Besar Kelantan di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu, di sini pada Ahad.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata, persiapan Pas untuk PRN sudah berada pada tahap maksimum.

Menurut beliau, Pas sudah mempunyai senarai nama yang akan diangkat sebagai calon pada PRN nanti.

"Senarai nama itu akan ditapis dan keputusan akhir diputuskan oleh Menteri Besar," katanya.