‘Ada pelanggan hantar sampai 15 ekor kucing ke hotel’

Penginapan untuk kucing di Cat Inn Hauz.
Penginapan untuk kucing di Cat Inn Hauz.
A
A
A

SHAH ALAM - Menjelang perayaan Aidilfitri, orang ramai mula sibuk membuat persiapan masing-masing bagi menyambut bulan mulia itu termasuk dari segi penjagaan kucing sepanjang tempoh tersebut.

Pekerja-pekerja di hotel kucing pastinya berdepan dengan pelbagai ragam daripada pelanggan yang meninggalkan haiwan kesayangan mereka sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri itu.

Pengasas Koshka Cat Hotel, Shah Zulqarnain Shafie, 45, berkata, pernah ada pelanggan yang meninggalkan sebanyak 15 ekor kucing untuk dijaga pada musim perayaan berkenaan.

Shah Zulqarnain bersama kucing peliharaannya.
Shah Zulqarnain bersama kucing peliharaannya.

“Ada pemilik kucing ini datang dan hantar sampai 15 ekor kucing dan minta jaga dalam dua minggu. Itu pun okey, alhamdulillah tidak ada masalah (jaga kucing).

“Kebanyakan pelanggan kami semua di sekitar Shah Alam sebab kawasan ini memang banyak hotel kucing, cuma kelebihan hotel kami adalah kita membiarkan kucing-kucing itu bergerak bebas dalam kawasan kita,” katanya kepada Sinar Harian.

Tempat permainan untuk kucing di Koshka Cat Hotel.
Tempat permainan untuk kucing di Koshka Cat Hotel.

Ujar Shah Zulqarnaian yang berasal dari Kuantan, Pahang, kebiasaannya semua hotel kucing sekitar Lembah Klang akan penuh dengan tempahan sebaik sahaja memasuki bulan Ramadan.

Menurutnya, perniagaan Koshka Cat Hotel yang mula beroperasi sejak tahun lepas itu diusahakan oleh dia dan adik iparnya, Farrah Fadzilah, 40, yang juga merupakan penggemar kucing.

Bilik penginapan untuk kucing di Koshka Cat Hotel.
Bilik penginapan untuk kucing di Koshka Cat Hotel.

Katanya, mereka yang akan bertanggungjawab menjaga kucing-kucing itu pada musim perayaan termasuk pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Macam saya, saya orang Pahang. Tetapi isteri saya dan adik ipar saya (Farahanim) itu memang orang Shah Alam, jadi kita memang beraya di sini.

“Maknanya kucing-kucing itu kami akan jaga, jadi itu tidak ada masalah,” ujarnya.

Sehingga kini, hotel berkenaan mampu memuatkan sebanyak 30 ekor kucing dewasa.

Noor Aini bersama salah satu kucing pelanggannya.
Noor Aini bersama salah satu kucing pelanggannya.

Dalam pada itu, Pengasas Cat Inn Hauz, Noor Aini Baharudin, 38 berkata, staf yang bukan Muslim kebiasaannya akan ditugaskan untuk bekerja pada Hari Raya Aidilfitri bagi memberi kesempatan kepada staf Muslim untuk sambut perayaan.

Menurut Noor Aini yang berasal dari Kuantan, Pahang, Cat Inn Hauz boleh memuatkan 53 ekor kucing pada hari biasa, manakala pada waktu puncak seperti hari perayaan boleh mengisi sebanyak 65 ekor kucing dewasa.

Tempat istirahat untuk kucing di Cat Inn Hauz.
Tempat istirahat untuk kucing di Cat Inn Hauz.

“Masa hari raya, kita akan panggil staf kita yang berbangsa Cina dan India, mereka memang ‘standby’ (telah bersedia), jadi tidak ada masalah mengganggu orang beraya dan sebagainya.

“Saya pun akan ‘standby’, kalau ada keperluan atau kecemasan yang memerlukan saya untuk balik tengok apa-apa masalah, saya akan balik ke kedai.

“Sebab itu pengambilan (kucing) masa raya, kita tegas dan kebanyakan pelanggan kami memang tiap-tiap tahun hantar kucing mereka ke sini,” ujarnya.

Cat Inn Hauz boleh memuatkan 53 ekor kucing pada hari biasa.
Cat Inn Hauz boleh memuatkan 53 ekor kucing pada hari biasa.