Fahmi Fadzil ucap tahniah kepada Sofyank

Fahmi (kanan) mengucapkan tahniah kepada Sofyank yang menjuarai pertandingan Ultimate VFX Challenge - Magic Of The Month di Los Angeles baru-baru ini. - Foto Facebook Fahmi Fadzil
Fahmi (kanan) mengucapkan tahniah kepada Sofyank yang menjuarai pertandingan Ultimate VFX Challenge - Magic Of The Month di Los Angeles baru-baru ini. - Foto Facebook Fahmi Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada pereka kandungan digital Sofyank, atau Mohamad Sofian Abdullah, yang menjuarai pertandingan Ultimate VFX Challenge - Magic Of The Month di Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Beliau berkata, kejayaan anak muda itu telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia dan menyifatkan bakat Sofyank sebagai luar biasa.

"Tahniah buat anak muda, Sofyank, yang mengharumkan nama Malaysia (dan Lembah Pantai) dengan menjuarai Ultimate VFX Challenge di Los Angeles.

"Bakat Sofyank mencipta kandungan sangat luar biasa. Insya-ALLAH akan ada beberapa kolaborasi bersama beliau selepas ini. Paling menarik, beliau sangat beradab dan merendah diri. Terus berjaya, Sofyank,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Sofyank, yang terkenal dengan bakat mencipta kandungan digital VFX atau kesan visual, telah beberapa kali berkolaborasi dengan selebriti antarabangsa malah sehingga kini, video ciptaan beliau ditonton oleh jutaan pelayar media sosial.

Pemuda berusia 27 tahun itu, yang menyertai pertandingan anjuran pempengaruh media sosial dan pereka kandungan digital terkemuka antarabangsa Zach King dan bersaing dengan dua lagi peserta, telah diberikan beberapa cabaran dan perlu menyiapkan satu karya pendek VFX.

Video pertandingan itu ‘Is This The Next Zach King?’ boleh ditonton di YouTube. - Bernama