Agihan kerusi PRN di tiga negeri PH hampir selesai

Salahuddin Ayub.
Salahuddin Ayub.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di tiga negeri di bawah pentadbiran PH telah selesai 90 peratus.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tiga negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Bagi tiga negeri lain iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, beliau berkata rundingan masih lagi berjalan di peringkat kepimpinan negeri masing-masing.

"Kita beri kebebasan kepada kepimpinan negeri masing-masing untuk mengadakan rundingan berhubung agihan kerusi, macam Kedah sudah ada beberapa pusingan untuk mereka berunding.

"Ada negeri pula yang baru saja nak bermula rundingan, biasanya kita memerlukan dua atau tiga kali rundingan, barulah dapat selesai isu-isu termasuk kerusi yang kita nak pertandingkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan mengejut ke Pasar Awam Larkin Sentral, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung perkembangan agihan kerusi antara PH dengan BN di enam negeri yang akan berdepan PRN tidak lama lagi.

Ditanya keyakinan Amanah untuk menembusi tiga negeri yang merupakan kubu kuat Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, Salahuddin berkata tiada keadaan yang statik dalam politik.

"Selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lepas, saya rasa keadaan politik begitu mudah berubah, jadi apa yang berlaku, mungkin Pas dan PN mendakwa itu kubu kuat mereka, belum tentu juga, kita akan buat penampilan terbaik di ketiga-tiga negeri itu," katanya.

Menurutnya, pada masa sama, Amanah juga akan pastikan parti itu bekerja keras di negeri-negeri di bawah pentadbiran PH sekali gus mempertahankan kerusi yang dimenangi dengan mudah.

"Macam Kedah kita rasa mempunyai peluang agak baik, Kelantan dan Terengganu kita akan letakkan calon berpotensi,” kata beliau. - Bernama.