Polis tumpu 76 lokasi hot spot kemalangan seluruh negara

No Image Caption
A
A
A

GUA MUSANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi tumpuan kepada 76 lokasi hot spot yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di seluruh negara sempena sambutan perayaan Aidilfitri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, antara faktor utama yang menyumbang kepada berlakunya kemalangan adalah sikap pengguna jalan raya seperti keletihan, ketegangan emosi serta memandu sambil bermain alat komunikasi.

"Melanggar lampu isyarat, menukar lorong tanpa memberi isyarat lalu lintas serta memandu dengan laju turut penyumbang berlakunya kemalangan jalan raya.

"Kita juga akan memantau melalui udara bagi melihat kesesakan lalu lintas untuk membantu anggota yang bertugas di lapangan mengambil tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas menyantuni pengguna jalan raya di laluan alternatif Gua Musang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mat Kasim berkata bagi Kelantan pula, sebanyak 18 lokasi dikenal pasti kawasan kerap berlaku kemalangan.

"Sebanyak 90,000 kenderaan dianggarkan masuk ke Kelantan bermula sejak Selasa lalu dan sehingga menjelang sambutan perayaan Aidilfitri," katanya. - Bernama