Ismail Sabri nasihat 'gaduh dalam bilik', bukan tempat terbuka

Ismail Sabri menyantuni penghuni Rumah Amal Asnaf Al-Barakh membeli baju raya di pusat beli-belah Aeon di Petaling Jaya hari ini.
Ismail Sabri menyantuni penghuni Rumah Amal Asnaf Al-Barakh membeli baju raya di pusat beli-belah Aeon di Petaling Jaya hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan kenyataan yang menganggap kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagai perkahwinan paksa adalah bertujuan untuk melaga-lagakan, sebaliknya ia merupakan teguran bagi merapatkan hubungan kedua-dua parti tersebut.

Bekas perdana menteri itu berkata, sebagai orang tua beliau menegur dengan harapan dapat memberi kesedaran kepada DAP dan UMNO agar tidak bergaduh di khalayak ramai.

Katanya, pergaduhan secara terbuka apatah lagi melalui media akan mewujudkan pandangan yang negatif terhadap kepimpinan parti.

"Bila kamu berkelahi secara terbuka menggunakan media, semua orang akan baca. Jadi rakyat berpandangan pemimpin parti sudah tidak sehaluan kerana bergaduh sesama sendiri.

"Untuk mendapatkan rumah tangga bahagia, mereka bergaduh dalam bilik dan tempat tertutup, barulah tidak nampak. Orang tua-tua dulu kata jangan bergaduh di halaman rumah, tepi laman sebab jiran tetangga dan orang yang lalu lalang boleh tengok, jadi semua boleh tahu masalah kita," katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika membeli baju raya kepada 41 orang penghuni Rumah Amal Asnaf Al-Barakh di Keramat yang berusia lapan bulan sehingga 14 tahun.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar membidas kenyataan Ismail Sabri berhubung 'kahwin paksa'.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, kerjasama atau jalinan hubungan berkenaan boleh dianggap sebagai sebuah perkahwinan yang telah diaturkan 'orang tua' yang mempertemukan jodoh PH dan BN.

Ismail Sabri turut berharap masalah tersebut tidak akan berterusan dan semua pihak perlu memberi fokus kepada pilihan raya negeri (PRN).

"Kalau bertelagah macam mana mahu mengadakan kerjasama. Jika PRN berlaku bulan Jun, masa semakin suntuk, tinggal sebulan lebih sahaja lagi.

"Oleh itu, saya harap kita fokus pada pilihan raya, hentikan pergaduhan secara terbuka. Bila orang nampak serang antara satu sama lain, sangat tidak elok," jelasnya.

Beliau turut mengulas mengenai penerimaan akar umbi terhadap kerjasama parti UMNO dan DAP.

"Pada awalnya, rakyat mungkin terkejut memandangkan sebelum ini kedua-dua parti tersebut tidak sehaluan.

"Bagaimanapun, PRN nanti akan memberi gambaran mengenai perkara itu," ujarnya.