BN, PH jangka pembahagian kerusi DUN selesai selepas Aidilfitri

Mahdzir (dua dari kiri) ketika sidang media pada majlis Sidang Meja Bulat dan Berbuka Puasa antara Parti-Parti Dalam Kerajaan Perpaduan. - Foto Bernama
Mahdzir (dua dari kiri) ketika sidang media pada majlis Sidang Meja Bulat dan Berbuka Puasa antara Parti-Parti Dalam Kerajaan Perpaduan. - Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI PETANI - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah dijangka menyelesaikan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang selepas sambutan Aidilfitri.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sesi suai kenal diadakan dalam kalangan pimpinan BN dan PH di peringkat bahagian dengan semua pimpinan parti komponen dari kedua-dua gabungan itu duduk semeja melihat persediaan dilakukan.

"Kita kena kenal pasti bagaimana nak buat di sesuatu kawasan atau bahagian itu dan kemudian bila kita selesai bab pembahagian kerusi dan sudah buat keputusan siapa bertanding di mana, selepas itu kita tentukanlah cara nak buat kerja," katanya pada sidang media di sini malam Isnin.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis Sidang Meja Bulat Perpaduan 2023 yang dihadiri pimpinan BN dan PH peringkat negeri dan bahagian bertujuan bersuai kenal dalam kalangan pemimpin kedua-dua gabungan itu di pelbagai peringkat serta mengukuhkan kerjasama menjelang PRN nanti.

Sementara itu, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya berharap pembahagian kerusi itu dapat diselesaikan sebelum Konvensyen Perpaduan peringkat Kedah yang akan diadakan pada 20 Mei ini.

Beliau berkata, selepas sesi meja bulat yang diadakan semalam, BN dan PH akan membentuk Majlis Pimpinan Perpaduan di peringkat Parlimen atau bahagian bagi menentukan gerak kerja bagi menghadapi PRN itu.

Mahfuz berkata, selepas selesai soal pembahagian kerusi, BN dan PH akan menentukan calon Menteri Besar untuk dijadikan sebagai poster boy bagi menghadapi calon Perikatan Nasional (PN).

"Kita akan bincangkan selepas ini siapa calon MB, yang pasti bukan saya, kita tak bincang (calon Menteri Besar) lagi sebab kita nak selesaikan dahulu (pembahagian) kerusi. Selepas itu insya-Allah kita akan tentukan, tapi yang penting calon MB kita daripada gabungan perpaduan," katanya. - Bernama