PRN: '6 negeri jadi fokus, tetapi lebih utamakan Kedah' - Mahdzir

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pengerusi UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan bahawa gabungan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan akan memberikan fokus kepada enam negeri terutama melibatkan kempen-kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Bagaimanapun, menurut bekas Ahli Parlimen Padang Terap itu, negeri Kedah akan menerima lebih keutamaan berbanding negeri-negeri yang lain.

Sehubungan itu, penubuhan Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah akan menjadi platform dalam membentuk gandingan jitu membabitkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) khususnya dalam berhadapan dengan saingan sengit Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

Tambah beliau, kerjasama berkenaan juga memberikan tawaran baharu kepada rakyat negeri Jelapang Padi itu khususnya melibatkan penyelesaian isu air selain fokus kepada golongan muda.

"Sepatutnya kerajaan negeri ada tanggungjawab dalam perkara yang patut diselesaikan di negeri Kedah tetapi tidak dapat diselesaikan sehingga kini,

"Jadi perkara yang itu kita ambil tumpuan, ini adalah 'new deal' Kerajaan Perpaduan kepada rakyat di Kedah menjelang PRN kelak.

"Penawarannya adalah nombor satu fokus kepada isu air dan nombor dua adalah melibatkan orang muda. Orang muda ini kita hendak memiliki kerjasama dengan industri yang ada," katanya.

Mahdzir berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Sidang Meja Bulat, Parti-parti Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Kedah, di Dewan Persatuan Pendidikan Akhlak Lip Seang Kor, Sungai Petani pada Isnin malam.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa anjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang merupakan acara tahunan di Seri Perdana, tidak akan diadakan bagi tahun ini.

Menurut beliau, ia adalah bagi membolehkannya menghadiri Majlis Rumah Aidilfitri yang dianjurkan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri.

Anwar turut memaklumkan, sebagai permulaan beliau akan menghadiri Majlis Rumah Terbuka peringkat negeri di Kedah yang dijadual berlangsung pada 29 April depan. - Awani