Ahmad Maslan mahu kukuhkan 26 bahagian UMNO Johor

Ahmad Maslan (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Pontian kali pertama di Dewan UMNO Pontian.
Ahmad Maslan (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Pontian kali pertama di Dewan UMNO Pontian.
A
A
A

PONTIAN - Pengalaman sebagai Setiausaha Agung UMNO akan digunakan bagi mengukuhkan 26 bahagian UMNO di Johor seterusnya memastikan negeri ini kekal sebagai kubu parti.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keutamaannya kini adalah meningkatkan prestasi UMNO Johor menerusi pelbagai program di peringkat biro-biro dan sayap Wanita, Puteri dan Pemuda.

"Setelah berkhidmat di peringkat pusat sebelum ini sebagai Ketua Penerangan dan Setiausaha Agung kini saya kembali ke Johor bergandingan dengan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Saya bersyukur kerana diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Johor. Banyak cadangan hendak saya bawa pada Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor yang dijangka diadakan dalam masa terdekat ini," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa UMNO Bahagian Pontian bagi sesi 2023-2026 di Dewan UMNO Pontian di sini pada petang Sabtu.

Pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, 22 Mac lalu, Ahmad yang merupakan Timbalan Menteri Kewangan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Johor menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohammad.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, program-program mendekati rakyat perlu diperbanyakkan UMNO Johor sebagai salah cara membantu rakyat yang memerlukan pertolongan dan sebagainya.

"Saya juga merupakan ahli MKT dan mempunyai tanggungjawab di peringkat UMNO pusat. Kedua-dua jawatan di peringkat pusat dan negeri ini akan digalas sebaiknya.

"Bagi mengukuhkan kekuatan parti, UMNO perlu melaksanakan program yang dapat dirasai, dilihat dan bersama rakyat. Kehadiran UMNO perlu dirasai di setiap peringkat masyarakat," katanya.

Mengenai UMNO Bahagian Pontian pula, telah melantik lapan individu selaku sekretariat kepada biro-biro bagi memastikan gerak kerja berjalan lancar serta menepati visi penubuhannya membantu rakyat.