Ka Siong buat laporan polis berhubung isu import telur

Ka Siong menunjukkan laporan polis dalam siaran di Facebooknya pada Khamis.
Ka Siong menunjukkan laporan polis dalam siaran di Facebooknya pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan telah membuat laporan polis berhubung isu kontroversi membabitkan import telur dari India.

Ka Siong berkata, laporan itu dibuat di ibu Balai Polis Cheras pada Rabu jam 1 pagi.

Ujar beliau, tindakan itu diambil selepas mendapati ahli perniagaan Deepak Jaikishan tidak membuat sebarang laporan polis berhubung isu berkenaan meskipun telah diingatkan supaya berbuat demikian.

"Sebelum ini, pada Jumaat lalu (17 Mac 2023), saya telah mencabar Deepak Jaikishan supaya membuat laporan polis selepas beliau menafikan beliau pernah menelefon saya sebanyak dua kali iaitu masing-masing pada jam 9.51 pagi dan 9.52 pagi pada 13 Mac 2023.

"Saya memberi Deepak tiga hari untuk berbuat demikian.

"Memandangkan Deepak tidak membuat laporan polis, maka saya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis seperti mana yang saya janjikan," katanya dalam siaran di Facebooknya pada Khamis.

Sebelum ini, Ka Siong memaklumkan seorang individu mengaku sebagai Deepak mewakili sebuah syarikat telah menghubunginya dan mendakwa telah mencapai persetujuan dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) supaya bekas menteri pengangkutan itu membetulkan kenyataannya berhubung isu import telur ayam dari India.

Dalam pada itu, Ka Siong yang juga Presiden MCA itu menegaskan bahawa tidak ada sesiapa yang boleh menyalahgunakan nama PMO untuk melakukan tindakan yang tidak senonoh dan berbaur ugutan.

"Apatah lagi terhadap mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mempunyai imuniti berucap di dalam Dewan Rakyat seperti termaktub di dalam Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.

"Sebarang penyalahgunaan nama PMO amatlah dikesali.

"Justeru, saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung perkara ini," ujarnya.