Polis buru 20 individu merusuh di premis pengurusan mayat

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis sedang memburu 20 individu dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap yang melakukan rusuhan dalam satu upacara pengebumian di sebuah premis pengurusan mayat bukan Islam di bandar raya ini pada Selasa lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sehari sebelum kejadian, seorang lelaki berusia 30an yang mempunyai beberapa rekod jenayah telah ditembak menggunakan senjata api di Taman Melodies di sini.

"Pada 20 Mac lepas, ada seorang lelaki telah ditembak namun siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui motif pembunuhan tersebut.

"Keesokan harinya, semasa upacara pengebumian mangsa, sekumpulan 20 individu telah datang dan membuat kekacauan di tempat sembahyang mendiang, jadi usaha mengesan mereka sedang dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan juga Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Ditanya sama ada pembunuhan itu berkait dengan satu lagi kes pembunuhan melibatkan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi di sini pada 2017, Kamarul Zaman berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan terbabit.

Pada 17 Disember 2017, seorang lelaki berusia 30an dilaporkan mati ditikam dan dilanggar dengan sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki, di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi kira-kira jam 7.30 malam ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20an yang dipercayai isterinya, sedang mengisi angin tayar kereta di stesen tersebut. - Bernama