Kami faham 'kesibukan' Saifuddin Nasution - Muda

Amir
Amir
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) secara sinis menyatakan mereka memahami 'kesibukan' Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Menteri Dalam Negeri hingga tidak sempat membaca surat permohonan parti itu untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi menerusi ciapan di Twitter berkata, Saifuddin Nasution ketika ini pastinya mempunyai begitu banyak agenda reformasi yang sedang dijalankan.

“Terima kasih atas jawapan Saifuddin Nasution. Kami memahami kesibukan dan tugas berat Datuk Seri sebagai Menteri Dalam Negeri kerana begitu banyak agenda reformasi yang sedang dilaksana.

"Jadi, saya kongsikan di sini surat-surat yang dihantar. Harap sempat dibaca kepada Datuk Seri,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai maklum balas Setiausaha Agung PH itu yang menyatakan dirinya terlalu sibuk hingga tidak sempat membaca surat permohonan Muda untuk menyertai gabungan parti di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Sebelum ini, Muda dilaporkan tidak dijemput ke Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali kedua yang diadakan pada 19 Mac lalu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Untuk makluman, ini adalah kali kedua parti yang dipimpin oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu dikecualikan dalam mesyuarat parti pemerintah selepas mesyuarat yang pertama berlangsung pada 7 Februari lalu.

Dalam pada itu, Muda juga masih menunggu jawapan daripada PH untuk mengadakan pertemuan dengan sekretariat gabungan itu bagi membincangkan beberapa perkara termasuk peranan parti tersebut dalam kerajaan.

Sementara itu, Amir Hariri menerusi Twitternya turut berkongsi beberapa surat yang diutuskan kepada Saifuddin Nasution melalui pelbagai platform.

“Surat kedua (18 Disember 2022) telah diserahkan juga secara atas tangan kepada Datuk Seri, selain kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan PH ketika majlis tandatangan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

“Semua surat ini telah diserahkan melalui e-mel, atas tangan (dan) juga melalui aplikasi WhatsApp.

“Moga dengan kepadatan jadual Datuk Seri melaksanakan agenda reformasi, sempat kiranya dibacakan kesemua surat ini.

“Muda hanya memerlukan jawapan dan bersedia menerima sebarang keputusan,” jelasnya.