Pas mahu tinggalkan Bersatu berita palsu - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri (dua dari kiri) ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri Terengganu di Lembaga Muzium Negeri Terengganu pada Selasa.
Ahmad Samsuri (dua dari kiri) ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri Terengganu di Lembaga Muzium Negeri Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pas menafikan dakwaan kononnya parti itu akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas beberapa pemimpinnya terpalit kes mahkamah.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, desas desus tersebut merupakan berita palsu yang tidak berasas kerana Pas masih setia bersama Bersatu serta Perikatan Nasional (PN).

“Yang diviralkan itu berita palsu. Memang tidak ada (tinggalkan Bersatu). Sesetengah orang kata kalau tidak ada angin masakan pokok boleh bergoyang (tapi) memang tiada angin cuma ada orang pergi goncang pokok.

“Saya tidak tahu siapa yang pergi goncang pokok,” katanya kepada media selepas hadir menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri Terengganu di Lembaga Muzium Negeri Terengganu, di sini pada Selasa.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani.

Menurut Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu, hubungan antara Pas dan Bersatu tiada sebarang masalah dan perjumpaan bersama kepimpinan parti turut diadakan sama seperti biasa.

“Baru malam tadi saya bermesyuarat bersama kepimpinan PN termasuk pemimpin tertinggi Bersatu dan Pas. Tidak ada sebarang desas desus ke arah itu (tinggalkan Bersatu)...tiada,” katanya tegas.

Ditanya mengenai perbincangan diadakan malam Isnin, beliau berkata, ia lebih menjurus kepada beberapa perkara penting termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

“(Agihan kerusi) belum lagi, kita sedang menyiapkan beberapa perkara termasuk asas-asas perundingan kerusi dan insya-ALLAH dalam masa terdekat kita akan duduk berbincang mengenai rundingan kerusi,” katanya.