'Saya ibarat boneka', Zulkifli letak jawatan pengerusi tetap

Zulkifli ditemui ketika sidang media khas yang diadakan di Pusat Komuniti Desa (PKD) Napoh, pada Isnin. - Foto Awani
Zulkifli ditemui ketika sidang media khas yang diadakan di Pusat Komuniti Desa (PKD) Napoh, pada Isnin. - Foto Awani
A
A
A

JITRA - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kubang Pasu, Zulkifli Md Isa mencipta kejutan apabila mengumumkan meletak jawatannya serta merta berkuat kuasa pada Isnin, tidak sampai 48 jam memegang jawatan itu.

Zulkifli berkata, dia membuat keputusan itu kerana merasakan dirinya sekadar boneka apabila dinafikan hak untuk membuat beberapa keputusan penting ketika pemilihan dan mesyuarat UMNO Bahagian Kubang Pasu, baru-baru ini.

Beliau mendakwa turut terkilan apabila usahanya membendung penipuan ketika proses pengundian dinafikan dengan beberapa cadangan dibangkitkan termasuklah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) mengunakan wang sendiri ditolak.

"Beberapa isu yang cuba saya buat dan untuk membendung penipuan semasa pengundian telah dinafikan termasuklah pengundian menggunakan pen warna.

"Jawapan yang diberikan pada saya (adalah) mereka mengucapkan ribuan terima kasih kepada saya menyediakan pen merah tetapi apa warna sekalipun dalam pengundian itu mereka akan terima," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Napoh pada Isnin.

Zulkifli berkata, beliau tertanya-tanya tentang hak dirinya sebagai Pengerusi Tetap apabila langkah-langkah mencegah penipuan dicadangkan itu tidak diterima.

Beliau memberitahu, permintaan untuk menyimpan kertas undi lebihan ketika mesyuarat itu diberikan kepada dirinya agar tidak disalah guna turut dinafikan.

"Jadi, saya merasakan seolah-olah jadi boneka dalam menguruskan perkara ini dan mempengerusikan mesyuarat," katanya.

Turut mengejutkan, beliau mendakwa, UMNO Bahagian Kubang Pasu merupakan satu-satu bahagian yang tiada sesi pengenalan calon.

"Jadi, tahun ini tahun pertama saya mempengerusikan mesyuarat perwakilan (dan) dianggap macam masih mentah untuk menjalankan dan mempengerusikan mesyuarat perwakilan pada hari tersebut," katanya.

Zulkifli turut berasa kurang berpuas hati apabila mendakwa ada pihak menggunakan kedudukan untuk memenangi satu pihak dan menafikan apa cuba dilakukannya sebagai Pengerusi Tetap.

Sehubungan itu, beliau memutuskan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kubang Pasu disebabkan tidak ingin dianggap bersubahat dan ingin mengutamakan intergriti dirinya.

Beliau memberitahu telah memaklumkan keputusan itu melalui aplikasi WhatsApp Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Aminuddin Omar pada Ahad

"Saya cuba lakukan yang terbaik (dan) dalam usaha untuk kita memilih pemimpin UMNO di Kubang Pasu ini. Biarlah kita jujur pada perwakilan-perwakilan kerana kita akan hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Jadi, kalau dari segi kita atur pemilihan (kemudian) ada penipuan dan diatur oleh kuasa-kuasa eksekutif. Jadi sampai bila UMNO boleh akan bina balik reputasi parti," katanya.