UMNO Sabah terima laporan insiden kekecohan dalam pemilihan

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU -Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini mengesahkan pihak UMNO Sabah telah menerima laporan beberapa insiden kekecohan yang berlaku pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian di negeri ini, Sabtu lepas.

Bung Moktar, yang mempertahankan jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan selepas menang tanpa bertanding berkata, insiden kekecohan itu antara lain melibatkan pengurusan proses pengundian dan ahli tidak layak mengundi dalam pemilihan parti pada mesyuarat berkenaan.

Tanpa merujuk kepada mana-mana Bahagian UMNO, beliau juga meminta Bahagian UMNO yang terlibat dengan sebarang insiden tidak diingini pada mesyuarat itu supaya membuat laporan kepada Jawatankuasa Pemilihan UMNO Pusat untuk tindakan lanjut.

"Pihak mereka (Jawatankuasa Pemilihan UMNO Pusat) akan meneliti setiap aduan dikemukakan dan akan menyiasat, sekiranya berlaku pelanggaran perlembagaan dan peraturan mesyuarat tidak mustahil persidangan akan dibuat semula,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Antara kekecohan yang menarik perhatian ramai pada Sabtu lepas ialah Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lahad Datu di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu yang dicemari oleh insiden pergaduhan dipercayai akibat provokasi sehingga menyebabkan dua individu cedera.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad dilaporkan berkata, dalam insiden pada jam 2.45 petang itu, seorang daripada mangsa yang cedera adalah kakitangan Badan Perhubungan UMNO Sabah manakala seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu.

Dalam pada itu, Bung Moktar juga meminta ahli UMNO selepas pemilihan kali ini agar memberikan keutamaan untuk mengembalikan semula perpaduan dalam parti, dan saling memaafkan antara satu sama lain dalam usaha memperkasakan kembali parti itu.

Beliau melihat pemilihan UMNO yang berlangsung serentak di seluruh negara pada Sabtu lalu sebagai "kemeriahan demokrasi” apabila ramai yang menawarkan diri bertanding walaupun parti itu dikatakan mengalami kemalapan.

"Kemeriahan itu membuktikan UMNO masih relevan walaupun tanggapan setengah pihak khususnya UMNO di Sabah akan terkubur berikutan tindakan beberapa ahli parti itu keluar meninggalkan UMNO dan menyertai parti lain,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar menyifatkan pemilihannya selaku Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO 2023-2026 sebagai satu kepercayaan dan amanah diberikan perwakilan terutama di peringkat akar umbi parti yang perlu dipikul serta dilaksana sebaiknya bagi memastikan perjuangan UMNO kekal demi rakyat.

"Jawatan ini datang dengan tanggungjawab dan amanah bagi membantu dan memimpin parti bersama-sama Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Ahli Majlis Tertinggi (MT),” katanya.

Bung Moktar yang memperoleh 160 undi, juga kelima tertinggi dalam calon Ahli MT, merupakan antara yang terpilih ke jawatan berkenaan berdasarkan keputusan rasmi dikongsikan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi hantaran di laman Twitternya semalam. - Bernama