‘Nak jadi angkasawan, datang ke Sabah’

Wilfred Madius Tangau - Foto Bernama
Wilfred Madius Tangau - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menarik perhatian Dewan Rakyat pada petang Isnin, apabila membuat perumpamaan jalan raya di Sabah seperti permukaan bulan.

Beliau yang membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya, membuat kenyataan itu setelah kecewa dengan kualiti jalan raya di negerinya.

Malah, Wilfred secara berseloroh menyatakan, sesiapa yang ingin menjadi angkasawan, boleh datang ke Sabah bagi merasai sendiri pengalaman berjalan di permukaan bulan.

“Kesesakan di sepanjang Jalan Persekutuan Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau, Telupid dan Sandakan sudah berkali-kali disuarakan di Dewan yang mulia ini. Tambahan pula, jalan raya tersebut juga mengalami banyak kerosakan.

“Jalan berlubang-lubang dan sehingga pada suatu ketika di Jalan Tuaran, lebih daripada lima kereta tersadai di tepi jalan pada suatu masa kerana tayar pecah dan rim bengkok.

“Tuan Pengerusi, sekiranya ada yang ingin menjadi angkasawan hari ini, jangan risau. Semuanya kini menjadi lebih mudah. Anda hanya perlu datang sendiri dan memandu kereta di Sabah,” katanya.

Beliau turut meminta penjelasan kenapa masalah itu masih belum dapat diselesaikan.

Pada masa sama, beliau bertanyakan langkah yang diambil untuk memastikan agar jalan raya persekutuan khususnya, mempunyai daya tahan yang tinggi.