Ibu sumber inspirasi Francissca Peter

Francissca ketika menjadi tetamu jemputan program MUM yang dihoskan Hazlin Hussain.
Francissca ketika menjadi tetamu jemputan program MUM yang dihoskan Hazlin Hussain.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyanyi era 80-an, Datuk Francissca Peter mendedahkan kekentalan semangat dan kasih sayang seorang ibu yang tidak berbelah bahagi menjadi sumber inspirasi kepada kejayaan beliau pada hari ini.

Mengimbau kenangan lalu, beliau berkata, ibunya terpaksa mengambil upah mencuci pakaian bagi menyara mereka sekeluarga.

"Ibu ambil upah cuci pakaian agar sentiasa ada di rumah bersama-sama anak-anak. Saya juga masih ingat, dia akan menunggu sehingga pasar hampir tutup baru membeli sayur. Beli saat-saat akhir dapat harga murah iaitu RM0.10 tapi sudah layu.

"Bila kita miskin, semua harga jadi mahal tetapi saya kagum dengan ibu kerana sentiasa berusaha memberi makanan yang sihat kepada kami walaupun dalam kesusahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan program Mak Untuk Malaysia (MUM) bertajuk Melodi cinta Francissca Peter anjuran Sinar Harian yang dihoskan oleh Hazlin Hussain.

Tambah anak kelahiran Klang itu, kehidupan lama keluarganya yang serba kekurangan membuatkan beliau nekad untuk menceburi industri hiburan bagi mengubah nasib mereka.

Menurut Francissca, kerjayanya sebagai penyanyi bermula di kelab malam dan kepercayaan yang diberikan oleh ibu adalah faktor kejayaan beliau sebagai penyanyi.

"Saya ada luahkan hasrat untuk menjadi penyanyi kepada ibu dan nenek. Pada awalnya nenek agak keberatan kerana risau saya terjebak dengan aktiviti tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah.

"Bagaimanapun, ibu yakin dan percaya saya tidak akan melakukan perkara tersebut. Kepercayaan itu membuatkan saya lebih bersemangat," ujarnya.