'Ramai calon bertanding bukan bererti wujud kem' - Wan Rosdy

Wan Rosdy menyampaikan sijil pengiktirafan Productivity Champion kelas kepada Datuk Bandar, Datuk Hamdan Hussin pada Majlis Anugerah Kecemerlangan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-2 MBK pada Ahad
Wan Rosdy menyampaikan sijil pengiktirafan Productivity Champion kelas kepada Datuk Bandar, Datuk Hamdan Hussin pada Majlis Anugerah Kecemerlangan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-2 MBK pada Ahad
A
A
A

KUANTAN - Jumlah calon yang ramai bagi merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti penggal 2023-2026 bukan bererti wujud kem tertentu dalam UMNO.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya ia bertujuan untuk memberikan khidmat kepada parti Melayu terbesar itu.

Beliau percaya itu antara hasrat semua calon yang menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan parti kali ini.

"Saya nampak ini andaian sajalah, macam-macam (orang) bagi pandangan, kalau kita tengok dua tiga tokoh yang menyatakan kem itu dan kem ini.

"Saya sendiri pun tak tahu, saya ingat ini terbuka untuk semualah, kita menawarkan diri untuk parti, kalau kita diberi kepercayaan, kita berkhidmat untuk partilah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Malam Anugerah Kecemerlangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pada tengah malam Ahad.

Pengerusi BN Pahang itu memberi maklumat balas tersebut selepas ditanya mengenai mengenai kemungkinan terdapat kem tertentu dalam pemilihan UMNO pada bulan depan selepas menyaksikan lapan calon menawarkan diri bertanding bagi jawatan Naib Presiden.

Pada Ahad, media melaporkan pendapat penganalisis politik yang mendakwa wujud kem berbeza dalam pemilihan UMNO kali ini.

Kem itu adalah kumpulan yang menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kumpulan anti-Zahid dan kumpulan bersikap neutral.

Jawatan Naib Presiden UMNO menjadi tumpuan selepas perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini memutuskan dua jawatan utama, Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Ditanya mengenai keputusan beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, Wan Rosdy menjelaskan keputusan dibuat selepas berbincang dan mendapatkan pandangan pimpinan UMNO Pahang.

"Kepimpinan melihat kemungkinan saya boleh menyumbang (kepada parti), jika diberi kepercayaan untuk menduduki salah satu jawatan (naib presiden)," jelas beliau.