Polis cari penunggang p-hailing tendang 'pak guard' Nepal

Tular video memaparkan seorang individu(kiri) menendang pengawal keselamatan warga Nepal di hadapan pintu masuk sebuah taman perumahan di sini pada Ahad.
Tular video memaparkan seorang individu(kiri) menendang pengawal keselamatan warga Nepal di hadapan pintu masuk sebuah taman perumahan di sini pada Ahad.
A
A
A

KAJANG - Tindakan seorang penunggang p-hailing menendang pengawal keselamatan warga Nepal di Taman Bukit Meringin, Sungai Ramal di sini membawa padah apabila suspek kini dikesan polis bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada 24 Februari lalu kira-kira jam 6.30 petang oleh penyelia mangsa.

"Siasatan mendapati kejadian berpunca disebabkan sikap tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang tidak membenarkannya masuk ke dalam taman perumahan tersebut.

"Suspek berang setelah dimaklumkan bahawa rumah yang ingin dituju kosong serta tidak berpenghuni mengakibatkan suspek bertindak menendang perut mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, kejadian disaksikan beberapa individu yang turut berada di lokasi kejadian.

"Selain itu, perbuatan suspek itu turut dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kereta yang dipercayai merupakan penduduk di taman perumahan tersebut.

"Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kajang sedang mengesan suspek untuk membantu siasatan berkaitan kejadian," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Sarjan Ahmad A’fifi Ahmad Humaidi di talian 019-7142486 bagi membantu siasatan," katanya.

Pada Ahad, tular video di Twitter memaparkan seorang individu menendang pengawal keselamatan warga Nepal di hadapan pintu masuk sebuah taman perumahan di sini.