Pencen Ilat perlu disahkan JD, JDR - Perkeso

Perkeso.
Perkeso.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebarang keputusan berhubung permohonan Pencen Ilat bergantung kepada pertimbangan Jemaah Doktor (JD) dan Jemaah Doktor Rayuan (JDR) dalam menentukan kelayakan pencarum.

Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Muhammad Amyzaddin Raya menjelaskan, JD dan JDR merupakan pakar perubatan yang ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sebarang keputusan yang ditentukan adalah di luar bidang kuasa agensi itu.

“Perkeso ingin menegaskan bahawa keputusan terhadap permohonan pencen ilat adalah dikawal oleh peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan dalam Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971.

"Pihak kami perlu mematuhi ketetapan sedia ada dan tidak boleh membuat pembayaran faedah tanpa mematuhi keputusan JD dan JDR yang berasaskan penilaian pakar-pakar perubatan yang dilantik," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan tersebut merujuk kepada laporan media mengenai seorang pencarum Perkeso, Mat Izam Mohd Kalam mengenai permohonan pencen ilat yang disiarkan baru-baru ini.

Mat Izam, 60, yang lumpuh hampir separuh badan menagih pertimbangan Perkeso untuk meluluskan permohonannya untuk mendapatkan pencen ilat selepas tidak mampu bekerja akibat penyakit tersebut.

Dalam pada itu Muhammad Amyzaddin memaklumkan, wakil Perkeso Negeri Sembilan telah mengunjungi lelaki berkenaan di kediamannya untuk memberi penerangan mengenai keputusan JDR.

“Perkeso sentiasa prihatin terhadap kes seperti ini dan turut berusaha untuk membantu pencarum mendapatkan bantuan lain.

"Mat Izam telah bersetuju menyertai Program Sinergi Sosial kendalian Perkeso yang mana kes beliau akan dirujuk kepada Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

"Perkeso kini sedang menguruskan khidmat pakar terapi fisio kepada pasangan suami isteri ini dan turut membantu membuat permohonan semula bagi Pencen Ilat," jelasnya.

Mat Izam dilapor telah membuat permohonan untuk Pencen Ilat pada Oktober 2020 dan pada Mei 2021, JD Hospital Tuanku Jaafar, Seremban telah mengesahkan bahawa keadaan kesihatanya pada ketika itu tidak ilat, seterusnya tidak melayakkan beliau menerima Pencen Ilat

Bekas penyelia di sebuah kilang besi di Sungai Buloh, Selangor itu membuat rayuan pada Ogos 2021 namun tidak diluluskan oleh JDR yang bersidang sebanyak dua kali kerana mendapati keputusan Penilaian Kehidupan Seharian dan kadar kemerosotan keseluruhan menunjukkan lelaki itu tidak ilat.