Isteri Nasir Search tanding Exco Wanita UMNO

Nasir menghantar borang pencalonan isterinya Noraziah di Auditorium Menara Dato’ Onn pada Khamis.
Nasir menghantar borang pencalonan isterinya Noraziah di Auditorium Menara Dato’ Onn pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli UMNO Bahagian Kulai, Norazuah Saadon yang juga isteri kepada pemain bass kumpulan Search, Nasir Daud menawarkan diri bertanding jawatan Exco Wanita UMNO bagi pemilihan parti itu bagi penggal 2023/2026.

Memetik laporan UMNO Online, borang pendaftaran diserahkan Nasir di Auditorium Menara Dato’ Onn pada Khamis.

“Saya bukannya datang hendak bertanding pada pemilihan UMNO 2023/2026, tetapi hadir mewakili isteri kerana dia ada mesyuarat di UMNO Bahagian Kulai, Johor.

“Saya menghantar borang pemilihan ini untuk isteri saya Noraziah Saadon yang menawarkan diri sebagai Exco Wanita UMNO dan doakan kejayaan beliau.

“Sebagai suami saya menyokong sepenuhnya beliau bertanding kerana telah lama terlibat dalam bidang politik, lebih 20 tahun. Penglibatannya semenjak dari muda sehingga sekarang dan ingin menceburi dengan lebih serius lagi dalam UMNO,” ujarnya.

Pendaftaran bagi proses Pemilihan UMNO 2023 dibuka bermula 13 sehingga 26 Februari di Auditorium Menara Dato’ Onn bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.

Bagi pemilihan jawatan di peringkat Bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri, pendaftaran dibuka di Pejabat UMNO Bahagian atau Perhubungan UMNO Negeri.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama pemilihan Ahli MKT UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.

Jelas Nasir, beliau mengharapkan agar seluruh ahli UMNO dapat menyokong isterinya bagi jawatan tersebut.

“Saya harap warga UMNO dari seluruh negara dapat memberi sokongan dan ‘support’ Noraziah Saadon dari UMNO Bahagian Kulai bagi jawatan Exco Wanita UMNO Malaysia,” katanya.