Ahmad Bashah kembali bantu bina semula UMNO

Ahmad Bashah
Ahmad Bashah
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan kembali aktif dalam arena politik selain turut memeriahkan saingan pemilihan parti bagi sesi 2023-2026.

Ahmad Bashah mengesahkan telah menyerahkan borang pencalonan bagi bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar yang akan diadakan pada Mac depan.

Menurutnya, kemunculan semula beliau adalah untuk membantu membina semula UMNO yang mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Saya sudah serahkan kertas pencalonan untuk bertanding Ketua UMNO Bahagian Alor Setar di ibu pejabat UMNO negeri di Bangunan Tunku pada Isnin.

“Saya serah borang pun sebab ada kekosongan, bukan untuk rebut jawatan pada usia macam ni (73 tahun),” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Ahmad Bashah yang merupakan penyandang jawatan berkenaan sebelum diambil alih oleh Datuk Mohd Yusof Ismail, membuat keputusan itu selepas Mohd Yusof digantung keahlian selama enam tahun sejak tahun lalu.

“Selepas berbincang dengan rakan-rakan politik, mereka cadangkan agar saya kembali aktif dalam politik sementara ketiadaan Mohd Yusof.

“Niat saya kembali aktif pun atas sebab mahu bantu perkukuhkan semula UMNO Bahagian Alor Setar sebab saya sayangkan parti ini,” ujarnya.

Beliau berkata, agenda utama adalah untuk kembali harmonikan UMNO khususnya Bahagian Alor Setar sebelum diperluaskan sehingga ke peringkat negeri.

“Saya mahu bantu bina semula UMNO selepas Kedah hilang semua kerusi pada PRU15 lalu.

“Mungkin selepas UMNO semakin kukuh bertapak dan Mohd Yusof pun kembali aktif, saya sedia lepaskan semula jawatan politik sebab niat pun nak bantu rakan-rakan dan parti,” ujarnya.

Ahmad Bashah percaya UMNO perlu dibina semula dan ia bukan sesuatu yang mustahil dilakukan sekiranya mendapat sokongan sepenuhnya daripada 15 Bahagian sedia ada.

“Semua harus berikan kerjasama dan saling menyokong antara satu sama lain untuk parti ini bangkit semula,” katanya.

Pada Mei 2018, Ahmad Bashah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi badan perhubungan UMNO Kedah dan Pengerusi BN negeri selepas parti itu mengalami kekalahan teruk dalam PRU14 lalu.

BN hanya memenangi tiga daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini, termasuk Ahmad Bashah yang turut kehilangan kerusi disandangnya selama lima penggal di DUN Suka Menanti, yang sebelum ini dikenali Bakar Bata.