Digantung UMNO: 'Tak tergamak nak buat rayuan'

Hishammuddin Hussein
Hishammuddin Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan tidak akan membuat rayuan berhubung keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menggantung keahliannya selama enam tahun.

Menerusi perkongsian video di akaun TikToknya, Hishammuddin menjelaskan perkara tersebut selepas mendakwa ramai yang tertanya-tanya dan ternanti-nantikan pendiriannya sama ada membuat rayuan atau sebaliknya selepas digantung keahlian UMNO.

"Orang tanya nak buat rayuan tak? Jawapan saya adalah tak akan rayu.

"Apa sebabnya? Ini kerana saya tak tahu apa sebabnya saya digantung, betul tak?" soal beliau.

Beliau yang juga bekas Naib Presiden UMNO mendakwa sehingga ke hari ini tidak tahu sebab dikenakan tindakan penggantungan keahlian parti.

Hishammuddin turut mempersoalkan untuk apa beliau membuat rayuan terhadap pengantungan keahliannya susulan tidak tahu punca sebab dirinya digantung.

"Sampai hari ini kita tak tahu apa sebabnya saya digantung. Jadi nak rayu apa?

"Kedua, dia gantung tak ikut proses. Tak ikut prosedur," dakwanya.

Hishammuddin turut mendakwa tidak diminta untuk memberi jawapan secara bertulis kepada Lembaga Disiplin UMNO.

"Tak ada surat dikeluarkan Lembaga Disiplin untuk sekurang-kurangnya panggil saya jawab secara bertulis, tak ada...," dakwanya lagi.

Beliau menjelaskan sebab ketiga adalah tiada keperluan untuk membuat rayuan kepada pihak yang telah membuat keputusan untuk menggantung keahliannya.

Hishammuddin juga mempersoalkan tindakan perlu merayu pada pihak yang telah bertindak mengantung keahliannya sebagai ahli UMNO.

"Dan ketiganya, buat apa kita nak buat rayuan kepada orang yang telah membuat keputusan untuk menggantung?

"Pada orang yang gantung kita, kita nak rayu kepada dia?," ujarnya lagi.

Tangkap layar video di TikTok Hishammuddin.
Tangkap layar video di TikTok Hishammuddin.

Tambah Hishammuddin, sekiranya beliau membuat rayuan sekali gus menunjukkan dirinya seperti orang yang bersalah dalam hal tersebut.

"Dan keempat kalau kita rayu, macam kita ini bersalah.

"Jadi hari ini saya minta restu dan izin daripada keluarga di Sembrong, kita kata kalau saya nak rayu, saya tak tergamak nak buat rayuan!" tegasnya.

Sebelum ini media melaporkan Hishammuddin mendedahkan menerima surat rasmi berhubung penggantungan keahlian UMNO selama enam tahun.

Bagaimanapun menurut Hishammuddin, tiada sebarang sebab penggantungan dinyatakan.

Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut memutuskan memecat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar daripada UMNO kerana pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain iaitu Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif selama enam tahun.