Asuma Beevi tawar diri tanding Ketua Wanita UMNO Kuala Langat

Asuma Beevi
Asuma Beevi
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Puteri UMNO, Asuma Beevi Mohamed Sali menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Langat pada pemilihan parti itu, 18 Mac depan.

Asuma Beevi berkata, keputusan itu dibuat setelah membuat pertimbangan mendalam terhadap hala tuju politik dan perubahan yang ingin dibawa di bahagian itu.

Menurut beliau, pengalamannya dalam Puteri UMNO dan sering bekerjasama dengan wanita UMNO seluruh negara diharap dapat membawa idea segar dalam parti.

"Saya mempunyai hubungan baik dengan wanita UMNO terutama dalam menghadapi pilihan raya bagi memastikan kemenangan calon BN (Barisan Nasional)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Asuma Beevi berkata, UMNO memerlukan perubahan terutama dalam keadaan pergolakan politik dan sokongan rakyat kepada UMNO semakin berkurang.

Justeru katanya, gabungan muka lama dan baharu amat penting bagi menarik kembali keyakinan dan sokongan rakyat kepada UMNO.

"Saya juga melihat kegagalan kita pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) bukanlah medan untuk mana-mana pihak menuding jari kepada pengundi muda semata-mata, tetapi ia mesej jelas bahawa rakyat mahukan perubahan di dalam BN (Barisan Nasional) dan UMNO," katanya.

Asuma Beevi berkata, pemilihan UMNO kali ini dianggap medan terbaik kepada parti itu memberi isyarat awal kepada rakyat bahawa pemerkasaan parti sedang berjalan di samping meraikan demokrasi sesama ahli parti.

Katanya, meskipun mengakui berlaku penolakan rakyat kepada UMNO, namun beliau tekad untuk membawa parti dalam proses pemerkasaan tersebut.

"Kami telah melalui pelbagai fasa jatuh bangun UMNO dan ini membuatkan kami kental serta yakin mampu mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO.

"Inilah masa terbaik untuk kami sumbangkan pengalaman kami kepada UMNO semula," katanya.