UMNO hanya perlu ADUN setia - Bung Moktar

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa parti hanya memerlukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang setia bersama parti.

Beliau berkata, tindakan ADUN yang keluar daripada UMNO sudah dijangka sebelum ini memandangkan mereka telahpun diberikan surat tunjuk sebab berhubung tindakan mereka sebelum ini.

"Sebenarnya hanya ada empat ADUN diberikan surat termasuk Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat). Datuk Andi Mohamad Suryady Bandy (Tanjong Batu) tidak pernah tandatangan Akuan Bersumpah (SD) untuk Datuk Seri Hajiji Noor dan Datuk Hamild @ Hamid Awang (Balung) baru ikut 'lompat' semalam, manakala Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) masih bukan ahli UMNO.

"Perkara ini memang saya sudah duga sebab hakikatnya keempat-empat ADUN ini telah diberikan surat tunjuk sebab dan perlu membela diri pada 24 Februari ini (Jumaat).

"Datuk James Ratib (ADUN Sugut) telah dicadangkan untuk dipecat sebab semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau didapati berkempen untuk calon Perikatan Nasional (PN) dan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), ini merupakan kesalahan besar sebab mengkhianati parti," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah turut berkata, beliau rela mempunyai sedikit ADUN berbanding mereka yang tidak berintegriti dan tiada kesetiaan dalam perjuangan.

"Selaku Ketua UMNO Sabah, saya telah menyatakan saya tidak mahu banyak ADUN tetapi tidak ada kesetiaan dan suka mengejar jawatan demi kepentingan diri sendiri.

"Semalam saya telah berbahas di Parlimen bahawa kerja untuk membeli ADUN-ADUN dari parti lain harus dihentikan serta merta oleh Datuk Seri Hajiji Noor sebab ini perbuatan pemimpin yang tidak bermaruah," katanya.

Sebelum itu, dalam sidang akhbar pada Selasa, Dr Yusof memaklumkan bahawa ADUN UMNO-BN keluar daripada parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

ADUN berkenaan ialah Dr Yusof, James, Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Hamid Awang (Balung).

Selain itu, tiga lagi yang turut menyertai Gagasan Rakyat ialah bekas ADUN Warisan Mohammad Mohamarin (Banggi), Azlinah Ariff (Kunak) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjung Kapor).

Setakat ini, UMNO mempunyai seramai 12 ADUN termasuk dua ADUN dilantik, manakala Warisan mempunyai seramai 16 ADUN selepas tiga lagi ADUN mengumumkan keluar daripada parti pada 6 Februari lalu.