'Itu tuduhan liar, tidak bertanggungjawab' - Azam Baki

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lelaki yang mendakwa suruhanjaya itu menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial itu, individu tersebut mendakwa tawaran itu dibuat agar Wan Saiful menukar kenyataan dan mengatakan bahawa telah menerima arahan daripada Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerima wang rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, itu adalah tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab.

"SPRM akan membuat laporan dan siasatan akan dijalankan.

"Ini manusia yang tidak bertanggungjawab dan SPRM akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambah Azam, dakwaan itu merupakan fitnah dan individu terbabit merupakan penipu dan manusia beginilah yang merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap SPRM.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Wan Saiful menyifatkan tuduhan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) ke atasnya tidak sepatutnya berlaku dan sengaja dibuat bagi mengalih perhatian orang ramai terhadap kegagalan kerajaan dalam menguruskan pelbagai isu yang timbul.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kuala Lumpur atas dua pertuduhan kes rasuah bagi projek ‘Central Spine Road’ bernilai RM232 juta, tahun lalu.