SPFC sasar kedudukan lima pasukan teratas

Barisan pemain SPFC mengayakan jersi pasukan pada Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain di sini pada Isnin.
Barisan pemain SPFC mengayakan jersi pasukan pada Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain di sini pada Isnin.
A
A
A

PASUKAN Sri Pahang FC (SPFC) menyasarkan kedudukan sekurang-kurangnya lima pasukan teratas pada saingan Liga Malaysia 2023.

Ketua Jurulatihnya, Fandi Ahmad berkata, sasaran itu realistik memandangkan pemain masih mencari keserasian di atas padang.

Menurutnya, beberapa pemain juga masih dibelenggu kecederaan, justeru beliau enggan meletakkan harapan terlalu tinggi buat pasukan kendaliannya itu.

"Memang kita hendakkan kemenangan tetapi sasaran perlu lebih realistik, kalau berjaya berada pada kedudukan tiga teratas itu lebih baik," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Pasukan Sri Pahang FC 2023 di sini pada Isnin.

Turut hadir, Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahad Mua'adzam Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah, Pengerusi SPFC, Raja Datuk Seri Shaharudin Shah Raja Jalil Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang.

Fandi berkata, barisan pemain SPFC untuk saingan Liga Malaysia musim ini sebahagiannya dibarisi muka baharu.

"Bagaimanapun, hasil latihan di Bangkok pada pra musim lalu melihatkan para pemain dapat menyesuaikan diri dengan latihan walaupun ada di antara mereka masih belum pulih sepenuhnya dari cedera," katanya.

Sempena majlis pelancaran itu, SPFC memperkenalkan jersi berwarna kuning-biru (home), jersi berwarna biru-kuning (away) dan jersi ketiga berwarna putih tajaan syarikat pembekal peralatan sukan, Hakka Clo.

Jelasnya, SPFC lebih fokus untuk mengutip sebanyak mungkin mata pada setiap perlawanan dan belum berani untuk berasing lebih jauh termasuk saingan Piala AFC.

"Persaingan pasukan lain juga tidak boleh dipandang mudah kerana semua berusaha memperkuatkan barisan pemain masing-masing," katanya.

Pengurus SPFC, Datuk Dollah Salleh pula menyifatkan persiapan skuad Tok Gajah musim ini agak berbeza berbanding dengan beberapa musim sebelum ini.

"Persiapan kita nampaknya lebih baik di bawah ketua jurulatih, Fandi Ahmad dan saya percaya beliau mampu memainkan peranan untuk membawa pasukan lebih jauh," katanya.

SPFC dibarisi 25 pemain barisan utama terdiri 19 pemain tempatan dan enam tonggak import.