Agensi sah juga perdaya orang ramai, peralat jadi mangsa tipu

Abd Jalil Hassan
Abd Jalil Hassan
A
A
A

SEPANG - Orang ramai dingatkan jangan terus percaya agensi sah mencari pekerjaan di negara ini terutama ditawarkan peluang bekerja di luar negara dengan gaji lumayan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, terdapat agensi mencari pekerjaan yang sah di negara ini menjadi dalang dengan bekerjasama pihak scammer di Thailand.

Katanya, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengenal pasti terdapat syarikat agensi kerja sah bukan sahaja membawa pekerja luar ke dalam negara, malah turut mengambil kesempatan 'mengeksport' rakyat Malaysia ke luar negara bagi melakukan kerja tidak elok.

Menurutnya, syarikat yang beroperasi secara sah itu dipercayai mempunyai lawan sesawang yang sangat baik dan boleh mempengaruhi orang ramai terutama anak muda bagi mendapatkan kerja dengan gaji lumayan, biarpun tidak mempunyai kelulusan tinggi.

"Dua syarikat agensi pekerjaan sah di negara ini disyaki mendalangi aktiviti merekrut rakyat tempatan untuk dihantar bekerja dengan sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

"Taktik atau modus operandi syarikat tersebut bagaimanapun terbongkar susulan penahanan beberapa individu yang dibuat oleh PDRM pada bulan lalu," katanya dalam sidang akhbar pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah tiba bersama lima mangsa penipuan pekerjaan dari Bangkok, Thailand.

Hadir sama Setiausaha Bahagian Konsulat Kementerian Luar Negeri, Datuk Mohammad Ali Selamat.

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata, dua buah syarikat tersebut adalah daripada agensi pekerjaan sah menjalankan aktiviti membawa pekerja asing ke dalam negara bagi ditempatkan di pelbagai sektor perkhidmatan.

Menurutnya, bertopengkan aktiviti menyediakan peluang pekerjaan sah yang dilakukan selama ini, dua syarikat tempatan tersebut bagaimanapun bertindak menjerat mangsa apabila dijadikan scammer di negara jiran.

Jelasnya, ekoran menjadikan mangsa sebagai pekerja sindiket di luar negara, kedua-dua syarikat itu kini disiasat oleh Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci ke atas kedua-dua syarikat itu kerana sanggup 'memperdagangkan' rakyat Malaysia dan menyebabkan mangsa yang diperdaya terkandas di negara jiran.

“Mereka adalah agensi pekerjaan yang sah yang turut merekrut warga asing untuk bekerja di Malaysia sebagai pembantu rumah dan pekerja buruh di ladang.

“Syarikat-syarikat ini mempunyau lesen tetapi mengambil kesempatan mengeksport rakyat Malaysia ke luar negara bagi melakukan kerja tidak baik,” katanya.

Abd Jalil berkata, terdapat berbagai sindiket penipuan pekerjaan yang aktif merekrut rakyat negara ini untuk dihantar bekerja ke luar negara, namun fokus utama PDRM adalah untuk mengenal pasti dalang sebenar kumpulan jenayah tersebut.

Katanya, PDRM mengsyaki terdapat pelbagai sindiket melakukan penipuan seumpama itu.

Oleh yang demikian menurutnya, polis sedang berusaha mencari dalang perbuatan jenayah itu yang ada di Malaysia dan Thailand, malah turut mengadakan kerjasama antara satu sama lain.

Mengulas berhubung taktik merekrut yang digunakan oleh sindiket, Abd Jalil berkata, mangsa kebanyakan terpedaya dengan tawaran lumayan sehingga USD2,000 (RM9,600).

Jelasnya, orang ramai sepatutnya berfikir kenapa agensi seumpama itu menawarkan gaji yang sangat lumayan, sedangkan taraf pendidikan tidak diambil kira.

Tambahnya, sehingga 18 Februari, PDRM menerima sebanyak 267 laporan polis melibatkan seramai 339 orang mangsa yang dilaporkan terkandas di luar negara kerana jenayah penipuan kerja.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 218 mangsa telah berjaya diselamatkan, namun terdapat 121 orang lagi mangsa masih terperangkap di Kemboja, Myanmar, Laos serta Thailand.

Menurut beliau, bagi negara Thailand untuk tempoh masa sama, terdapat 13 laporan polis diterima melibatkan 26 orang mangsa.

Daripada jumlah itu katanya, seramai tujuh orang mangsa telah berjaya diselamatkan, manakala 19 orang mangsa masih dikesan di Thailand.

"Daripada 19 orang ini, lima kita telah berjaya bawa pulang pada hari ini ke Malaysia dari Thailand, maka tinggal 14 orang lagi perlu dikesan di negara jiran itu," katanya.