Gunakan 'Belanjawan Hijau tangani perubahan iklim - ACCA


Pencemaran alam sekitar dan aktiviti manusia menjadi penyebab utama kepada fenomena perubahan iklim.
Pencemaran alam sekitar dan aktiviti manusia menjadi penyebab utama kepada fenomena perubahan iklim.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) menggesa kerajaan supaya mengguna pakai pendekatan "belanjawan hijau” bagi memenuhi komitmennya terhadap perubahan iklim.

Dalam satu kenyataan, badan perakaunan profesional global itu berkata, adalah penting bagi kerajaan untuk menerajui tindak balas terhadap cabaran yang berkaitan dengan perubahan iklim, dan menjadi contoh dengan meminimumkan kesan aktivitinya sendiri terhadap iklim dan alam sekitar.

"Salah satu alat yang paling berkuasa yang boleh digunakan oleh kerajaan untuk tindakan iklim ialah belanjawan tahunannya, kerana ia bukan sahaja menyediakan pernyataan niat, tetapi juga melaksanakan objektif kerajaan.

"Ini menyerlahkan kepentingan belanjawan hijau, yang merupakan pendekatan yang menyepadukan perubahan iklim dan mempertimbangkan alam sekitar ke dalam proses belanjawan dan membuat keputusan," kata Ketua Portfolio Maritim Asia Tenggara, Andrew Lim.

Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), negara berhasrat mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 dan akhirnya menjadi neutral karbon menjelang 2050.

Sementara itu, ACCA berkata, bahawa laporan Profesional Insights baru-baru ini mengenai "Green Budgeting: A Toolkit for Public Sector Finance Professionals” telah menunjukkan contoh kaedah belanjawan hijau dan menetapkan langkah untuk menjayakan belanjawan hijau, sambil menekankan kepentingan pemilikan oleh fungsi kewangan bagi menjadikan tindakan iklim sebagai keutamaan.

"Pada asasnya, kit alat kami ialah panduan berguna yang menyediakan langkah mudah dan praktikal yang boleh digunakan oleh profesional kewangan untuk melaksanakan pendekatan belanjawan hijau dalam organisasi mereka,” katanya.

Badan perakaunan itu juga menyatakan bahawa terdapat tiga prinsip menyeluruh yang perlu dipertimbangkan pada permulaan dalam pelaksanaan belanjawan hijau untuk peluang kejayaan yang terbaik, iaitu kemahuan politik, membina proses sedia ada dan pendekatan sektor awam yang komprehensif.

Oleh itu, ACCA menggesa agar semua profesional kewangan harus berada di tengah-tengah pendekatan belanjawan hijau dalam organisasi sektor awam.

Ia berkata, bahawa kemahiran dan peranan yang mereka laksanakan dalam sektor awam akan membolehkan mereka menyokong organisasi mereka dalam setiap lima langkah utama pelaksanaan belanjawan hijau, iaitu membangunkan garis dasar, mengutamakan perbelanjaan dengan kesan yang paling besar, mengkategorikan dan memantau perbelanjaan, memastikan semakan luaran, dan pembelajaran serta penambahbaikan.

ACCA juga telah memuji hasrat kerajaan Malaysia untuk menjadikan ekonomi hijau sebagai salah satu bidang tumpuan utama di bawah Belanjawan 2023 yang disemak dan akan dibentangkan di Parlimen Jumaat depan. - Bernama