[VIDEO] PRN: Kerjasama BN-PH di 6 negeri selepas post mortem

 Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) akan menentukan kerjasama dengan Pakatan Harapan(PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hanya selepas keputusan laporan 'post mortem' Pilihan Raya Umum Ke-15(PRU15)parti itu diperolehi dalam tempoh terdekat.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun tidak menolak kemungkinan BN akan bekerjasama dengan PH seperti mana kerajaan Persekutuan.

"Kita perlu melihat apa pilihan yang kita ada. Kadang-kadang lebih baik kita tak terlalu memilih.

"Lagi pun dalam keadaan sekarang kita tak banyak pilihan. Pilihan yang ada terhad dan semestinya kita akan lihat pilihan mana yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Graduasi Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri di sebuah hotel dekat sini pada Jumaat.

Ujarnya, buat masa ini parti lebih menumpukan kepada persiapan jentera bagi menghadapi PRN yang kemungkinan akan diadakan selewat-lewatnya Julai atau Ogos depan.

"Saya belum dapat menjangkakan strategi macam mana nak dibuat, dengan siapa kita nak berganding bahu dan cara mana. Itu belum lagi cerita berkenaan soal pembahagian kerusi.

"Tapi sebagai Pengarah Pilihan Raya parti, kita telah wujudkan jawatankuasa kecil yang pertamanya untuk melihat post mortem PRU15 dalam masa terdekat," katanya.

Jelasnya, selepas melihat isu-isu dan masalah yang sebenar dihadapi parti, baharu difikirkan cara dan strategi bagaimana untuk menghadapi PRN.

Tambahnya, BN tidak boleh menutup mata dan menidakkan apa telah berlaku pada PRU15 kerana ia merupakan sejarah terburuk buat parti.