Inisiatif baharu Perkeso beri manfaat kepada 456,000 penerima

Perkeso
Perkeso
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan pelarasan kos sara hidup bagi semua penerima faedah berkala dan kenaikan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dijangka memberi manfaat kepada lebih 456,000 penerima.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pelaksanaan kedua-dua inisiatif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) itu berkuat kuasa 1 Januari lalu dan akan melibatkan perbelanjaan sebanyak kira-kira RM 234 juta.

Menurutnya, mereka yang terlibat adalah penerima faedah Perkeso di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan mengikut Akta 4 seperti faedah hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, pencen ilat dan pencen penakat.

“Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini berupaya membantu mereka menangani peningkatan kos barangan dan perkhidmatan, terutamanya dalam meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Inisiatif pelarasan kos sara hidup bagi penerima faedah berkala sedia ada dan kenaikan kadar pencen minimum adalah lanjutan daripada Kajian Penilaian Aktuari ke-11 oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Ia mengambil kira keadaan sosial dan ekonomi semasa di Malaysia, kesan daripada pandemik Covid-19, peningkatan kos sara hidup dan kenaikan kadar inflasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Mohammed Azman, pelarasan kos sara hidup untuk faedah berkala Perkeso kali ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 penerima faedah dan membabitkan anggaran perbelanjaan berjumlah RM213 juta.

Sementara itu, pelaksanaan kenaikan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan ditingkatkan daripada kadar sedia ada iaitu sebanyak RM475 sebulan kepada RM550 sebulan.

“Peningkatan kadar pencen minimum ini akan memanfaatkan kira-kira 56,000 penerima faedah dalam membantu mereka menangani peningkatan kos sara hidup. Peningkatan ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak kira-kira RM21 juta.

“Menjadi harapan kami agar kedua-dua inisiatif ini akan dapat meringankan beban kewangan, meningkatkan kesejahteraan dan memenuhi keperluan sosio-ekonomi penerima-penerima faedah Perkeso,” jelasnya.